PROTON Holdings Bhd hari ini melancarkan generasi kedua Proton Persona baharu yang merupakan kereta pertama keluaran syarikat itu disokong indikator pemanduan 'Eco'.
Pelancaran kereta berwajah baharu berkenaan disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini.
Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, spesifikasi tersebut adalah bagi menarik golongan eksekutif muda berikutan reka bentuknya yang tampak lebih agresif.
Menurutnya, konsep pemanduan 'Eco' mampu menjimatkan petrol apabila indikator menyala semasa pemanduan mencapai 5.6 liter setiap 100 kilometer.
Katanya, Proton Persona baharu dengan enjin VVT 1.6L itu turut mengutamakan ciri keselamatan aktif dan pasif malah mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Untuk Negara-Negara Asia Tenggara.
"Kereta yang kita jual sama seperti mana kereta yang kita pandu uji penggunaan petrol serta ciri-ciri keselamatannya, malah ujian yang dilakukan adalah di atas jalan raya biasa," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kereta tersebut hari ini.
Proton Persona baharu itu didatangkan dalam tiga varian iaitu model standard dengan transmisi manual atau automatik; model eksekutif dan model premium, dalam enam pilihan warna.
Enam warna itu adalah Graphite Grey, Carnelian Brown, Fire Red, Sterling Silver, Cotton White dan Midnight Black.
Harga atas jalan untuk model standard transmisi manual adalah antara RM43,570 dan RM46,800 (Semenanjung Malaysia) manakala RM48,350 dan RM48,800 (Sabah dan Sarawak).
Bagi transmisi automatik pula daripada RM46,350 hingga RM49,800 bagi Semenanjung Malaysia manakala RM51,350 hingga RM51,800 (Sabah dan Sarawak).
Untuk model eksekutif pula antara RM52,000 dan RM55,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM57,350 hingga RM57,800 (Sabah dan Sarawak) manakala model premium daripada RM55,680 hingga RM59,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM61,350 hingga RM61,800 (Sabah dan Sarawak).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya menyasarkan jualan 3,000 hingga 4,000 buah sebulan.
Beliau yakin ia mampu dicapai berikutan model baharu itu telah melalui pelbagai evolusi penambahbaikan, termasuk pengurangan getaran bunyi dan kekasaran yang memberikan pemanduan lebih menyeronokkan dalam kelasnya.   
Proton Persona kini dibuka untuk tempahan dan pandu uji di seluruh negara malah sempena sambutan Bulan Kebangsaan, pelanggan boleh menikmati servis percuma selama tiga tahun, termasuk alat ganti dan kos pekerja bagi setiap tempahan yang dibuat sehingga 30 September ini.