GEORGETOWN - Wajah bintang dan pelakon popular India, Rajinikanth kini diabadikan pada dinding sebuah kedai roti bakar popular di Jalan Transfer, di sini.
Mural bintang filem Kabali itu dilukis oleh pelukis komik terkenal, Azmi Hussin yang sebelum ini terkenal dengan komik Little Mamak.
Pemilik Kedai Roti Bakar Naina, Naina Mohamed, 38 berkata, mural yang dilukis di kedainya itu sebagai penarik perhatian pelanggan.
“Siapa tak kenal dengan pelakon tersohor India, Rajinikanth, semua orang kenal, jadi kami sengaja lukis mural beliau di sini sama seperti warga Pulau Pinang sedang menikmati sarapan pagi berserta roti bakar dan juga telur.
“Ini juga untuk menceriakan kedai selain membuatkan pelanggan lebih gembira,” katanya.
Sementara itu Azmi, 32 berkata, dia mencari ilham untuk lukisan mural itu apabila melihat wajah pelakon utama Kabali itu berada di mana sahaja.
“Orang ramai menggilai filem ini. Di Internet, saya lihat kereta turut dihiasi dengan wajah pelakon Kabali dan pesawat Air Asia juga dicat dengan iklan Kabali.
“Jadi saya fikir apa salahnya meletakkan wajah dia menjadi mural,” katanya yang juga salah seorang peminat Rajinikanth.
Kedai Roti Bakar Naina itu dikunjungi pelanggan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari dan uniknya kedai ini menghidangkan roti bakar menggunakan arang.
Naina berkata, dia sudah menjalankan perniagaan berkenaan sejak 16 tahun dahulu.
Menurutnya, penduduk di negeri ini sememangnya menggemari roti Benggali untuk dijadikan sarapan tidak kira di cicah ataupun dibakar.
“Tetapi kami menggunakan cara istimewa iaitu membakar roti yang disapu planta menggunakan arang dan jarang dibuat oleh peniaga lain.
“Roti ini juga boleh dihidangkan dalam pelbagai cara termasuk meletakkan telur separuh masak di atasnya ataupun di cicah dengan susu, itulah cara pelanggan kami suka,” katanya.
Lokasi gerai yang terletak hanya kira-kira 300 meter dari Pasar Chowrasta mencecah lebih daripada 300 pelanggan sehari dan terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Boleh dikatakan orang luar juga menjadikan gerai saya sebagai lokasi utama mereka untuk makan.
“Selain murah dan berpatutan, ia lain daripada yang lain,”  katanya
.