Tuesday, August 23, 2016

FFM28: Pengarah Shanjey Kumar Enggan Letak Tekanan Hasil Filem Baharu



Pengarah filem Jagat, Shanjey Kumar Perumal mendapat lapan pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang bakal berlangsung pada 3 September depan.
PETALING JAYA: Pengarah Shanjey Kumar Perumal enggan terlalu mengambil kira jangkaan tinggi masyarakat terhadap filem seterusnya yang bakal dihasilkan selepas kejayaan filem arahannya, Jagat mendapat lapan pencalonan di Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28).
Shanjey berkata, perkara itu hanya akan meletakkan tekanan kepadanya untuk menghasilkan sesebuah naskhah yang terbaik dan jujur.

"Sudah tentu jika kita mengetahui tentang jangkaan orang kita akan rasa tertekan tetapi saya tidak mahu melihat ia sebagai tekanan dan saya tidak mahu terpengaruh dengan reaksi orang.

"Apa yang penting saya berlaku jujur kepada diri saya biarpun mengambil masa sedikit lama untuk menghasilkan filem seterusnya," ujarnya.

Shanjey ditemui pada sesi fotografi lima calon teratas Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28), baru-baru ini.

Filem Jagat berjaya tercalon dalam lapan kategori di FFM28 menerusi Anugerah Filem Terbaik Malaysia, Anugerah Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pengarah Baharu Terbaik.

Selain itu, ia turut tercalon menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Senimortografi Terbaik dan Penyunting Terbaik.
Salah satu adegan dalam filem Jagat.
Dalam pada itu, Shanjey berkata, dia tidak meletakkan harapan untuk memenangi pada FFM28 berikutan penilaian yang dilakukan oleh juri begitu subjektif.

"Susah nak cakap tentang jangkaan mana satu saya boleh menang kerana perkara ini adalah terlalu subjektif, jadi saya tidak mahu terlalu mengharap," ujarnya.

Bagaimanapun Shanjey berkata, filem pertamanya itu mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dengan filem-filem yang turut tercalon.

Katanya, Jagat memaparkan realiti sosial masyarakat negara ini yang dilalui oleh dirinya sendiri.

"Jagat ada kekuatan tersendiri kerana ia memaparkan separuh kisah benar tentang kehidupan yang saya lalui ketika kecil.

"Ia mengetengahkan isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat India sekitar tahun 1990-an," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: