MARANG – Durian isi oren atau nama saintifiknya ‘durio graveolens’ yang biasa didapati di Brunei, menjadi tarikan penggemar durian untuk berkunjung ke mukim Jerung, di sini, setiap kali tiba musim durian.
Durian yang mempunyai rasa seperti isi cempedak itu tidak banyak, malah amat jarang orang berpeluang untuk menikmati rasa isi buah itu kerana sebatang pokok menghasilkan buah yang agak terhad.
Antara penduduk yang menanam durian jenis itu ialah keluarga Siti Zaharah Wahab, 32, yang memaklumkan, pada tahun lalu, durian isi oren mendapat permintaan ramai kerana rasa berbeza, selain isi berwarna ‘garang’.
Siti Zaharah sebelum ini menarik perhatian penggemar raja buah apabila sebatang pokok durian isi oren atau durian Brunei yang ditanam keluarganya, mampu mengeluarkan hasil lumayan pada musim durian tahun lalu.
Tahun lalu, durian jenis itu hanya dijual pada harga murah iaitu antara RM5 hingga RM25 sebiji bergantung kepada saiz kerana berbuah lebat, namun keadaan berbeza kali ini apabila durian jenis itu tidak ‘menjadi’.
“Buah kecil berbanding durian kampung dan setiap biji durian isi oren ini pula hanya ada dua hingga empat ulas. Malangnya, hasil pada tahun ini ‘tidak menjadi’ berbanding tahun lalu,” katanya, semalam.