BATU RAKIT – Bentuknya seperti buah durian bersaiz kecil, isinya seperti buah cempedak, manakala rasanya pula masam dan manis seakan buah gelugur.
Itulah keistimewaan buah keledang temponek atau lebih dikenali penduduk Kampung Bukit Wan, di sini, sebagai buah kepas yang semakin pupus kini.
Bagaimanapun, spesies pokok hutan itu kembali popular sejak akhir-akhir ini apabila pokok tunggal yang hidup di kampung berkenaan menjadi perhatian ramai apabila ia viral di laman sosial.
Pokok yang berusia lebih 20 tahun itu sedang berbuah lebat ketika ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk sekitar yang ingin merasai sendiri buah yang kian pupus itu, malah turut menarik perhatian pihak luar hingga ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mendapatkan buah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Ambak Ismail berkata, buah kepas itu sememangnya menjadi makanan masyarakat pada suatu ketika dahulu, namun dek kerana peredaran zaman ia dilupakan.
“Semasa saya dan rakan seusia yang lain masih kecil, buah kepas ini menjadi makanan kami setiap kali masuk ke hutan, namun setelah lama ia semakin dilupakan.
“Sehinggalah pada tahun ini, satu-satunya pokok yang ada di Bukit Wan ini berbuah lebat dan menjadi tarikan ramai apabila gambar buah ini dimasukkan ke laman sosial Facebook.
“Malah, ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin membeli buah ini serta ada yang telah merasai keenakan isinya, sekali lagi membeli hingga 15 kilogram,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Wan, di sini.
Jelasnya lagi, pemanjat pokok berpengalaman juga diperlukan bagi memetik buah pada pokok setinggi kira-kira 20 meter itu memandangkan buahnya berada pada ranting.
Menurut Ambak lagi, menyedari spesies pokok hutan itu yang semakin pupus, pihaknya bercadang untuk memagar di sekitar pokok terbabit serta membuat label bagi memberi maklumat kepada orang ramai.
“Tujuan kita adalah untuk memastikan generasi akan datang tahu akan kewujudan spesies pokok hutan ini, selain menjadikan ia sebagai tarikan baharu di Bukit Wan.
“Di mana, kita bercadang untuk menjadikan kawasan berdekatan pokok kepas ini sebagai taman mini pertanian dalam usaha untuk menggalakkan lagi kehijauan alam, selain menjadi tempat rekreasi kepada penduduk sekitar,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Mad Zuki Abd Ghani, 54, berkata, tahun ini membuka peluang kepadanya untuk merasai keenakan buah kepas itu selepas hampir 40 tahun tidak merasainya.
“Kali terakhir saya merasai buah ini adalah ketika zaman kecil, di mana pada masa itu buah ini sering menjadi makanan buat kanak-kanak yang kerap masuk ke hutan dan mandi sungai.
“Walaupun telah lama tidak merasainya, namun saya tetap menyukainya seperti mana 40 tahun lalu kerana keunikan rasanya yang masam dan manis.
“Jadi, kita harap agar pokok ini dipelihara untuk membolehkan generasi akan datang berpeluang untuk melihat dan merasai buah kepas ini,” katanya.