KAJANG - Silap memilih kawan menjadi antara punca Farid, 23, seorang penuntut sebuah kolej swasta terperangkap dan akhirnya terpaksa menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Farid ketika menceritakan kembali bagaimana dia boleh menjadi penghuni penjara berkata, segala-galanya bermula apabila dia mengikut dua rakan wanitanya keluar minum di sebuah kedai makan di Damansara.

Katanya, dia tidak tahu terdapat ganja dalam beg dibawa rakannya hinggalah pihak polis melakukan pemeriksaan dan dirinya terjebak sama serta dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

“Mula-mula masuk penjara saya susah terima hakikat… tak boleh tidur, tak boleh makan asyik teringat-ingat keluarga. Namun tiada apa yang boleh diubah dan saya perlu menerima hakikat. Selepas enam bulan baru rasa stabil dan jalani hukuman dengan lebih tenang.

Katanya, dia berharap apabila keluar dari penjara nanti masyarakat tidak meletakkan stigma dan menerimanya kembali.

“Saya bersyukur keluarga beri sokongan, apa yang terjadi membuatkan saya akan lebih berhati-hati memilih kawan,” katanya yang memberitahu ditahan dan dikenakan hukuman ketika menuntut di tahun akhir.

Dia turut bersyukur apabila pihak penjara memilihnya untuk dipertemukan dengan ibu dan bapanya dalam majlis pertemuan anjuran Yayasan Prihatin Insan di Penjara Kajang baru-baru ini.
“Seronok sangat dapat peluk mak dan ayah... selalu tak dapat jumpa dekat-dekat, harap ini kali terakhir saya masuk penjara,” katanya.

Bapa Farid yang ditemui berkata, dia reda dengan apa yang berlaku meskipun keluarganya bersedih dan tidak boleh menerima hakikat anaknya dipenjarakan.

“Selepas Farid masuk penjara, isteri saya orang paling sedih, namun lama-lama dia dah boleh terima hakikat, harap dia dapat berhati-hati memilih kawan selepas ini,” katanya.