Nazlin menunjukkan slip peperiksaan SPM kepada ibunya, Salmi (kiri) dan bapanya, Nazlan (kanan) selepas menerima keputusan tersebut.
BERA - Kegigihan seorang calon Orang Asli yang belajar bersungguh-sungguh membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan cemerlang 7A 2B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Nazlin a/p Nazlan, 18, merupakan satu-satunya calon di kalangan Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera itu, disenaraikan sebagai antara pelajar Orang Asli cemerlang di negeri Pahang menjadikan keluarganya sebagai motivasi untuk mencapai keputusan cemerlang.
Menurutnya, meskipun tidak mendapat A dalam semua mata pelajaran, namun ia masih merupakan hadiah paling bermakna untuk kedua ibubapanya dan pemangkin semangat kepada tiga adiknya untuk terus berjaya.
"Saya akan bangun awal dan mengulang kaji mata pelajaran sekurang-kurangnya tiga jam sebelum ke sekolah samada secara bersendirian atau berkumpulan.
"Kedua-dua kakak saya sebenarnya pendorong kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan saya mendapat keputusan cemerlang kerana saya juga mahu membuktikan bahawa Orang Asli juga boleh berjaya seperti orang lain," katanya kepada Sinar Harian.
Anak ketiga daripada enam beradik ini tidak pernah rasa terpinggir semasa menimba ilmu di sekolah ini walaupun ada segelintir pelajar yang memandang rendah kepadanya, kerana semua guru dan rakan-rakan seperjuangan sering memberikan galakan tanpa henti.
Katanya, tindakan segelintir pelajar yang memandang rendah padanya tidak pernah membuatkannya patah semangat sebaliknya itu juga ibarat pembakar semangat kepadanya.
Sebelum ini, beliau merupakan pelajar terbaik di kalangan masyarakat Orang Asli apabila memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Iskandar pada tahun 2010 dan 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sekolah ini.
Nazlin pernah ditawarkan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu tetapi terpaksa ditolak kerana sekolah itu terlalu jauh, dan mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di SMK Seri Bera.
"Pada saya, di mana sahaja kita bersekolah, asalkan keinginan dan kesungguhan untuk belajar, kita boleh mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
"Saya percaya, kejayaan dalam akademik mampu mengubah kehidupan keluarga saya (miskin) kepada kehidupan yang lebih baik," kata beliau.
Menurut Nazlin, bapanya, Nazlan a/l Mokhtar, 48 bekerja sebagai penoreh getah manakala ibunya Salmi a/p Waong, 47 bekerja sebagai Pembantu Pemaju Operasi di Tabika Kemas di Pos Iskandar sentiasa memberi galakan kepada adik-beradiknya yang lain agar berjaya dalam pelajaran dan mengubah nasib keluarga.
Difahamkan, kakak sulungnya bekerja di Bahagian Farmasi, Klinik Kesihatan Pasoh; kakak kedua pula, sedang menuntut dalam bidang kimia gunaan di Universiti Teknologi Mara Arau, manakala adiknya merupakan pelajar tingkatan empat di MRSM Muadzam Shah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: