
Kerang
DUNGUN - Pantai Sura Dungun menjadi tumpuan ratusan pengunjung apabila ribuan kerang ditemui terdampar di pantai berkenaan sejak petang semalam.
Tinjaun Bernama mendapati orang ramai daripada pelbagai peringkat umur mengambil peluang mengutip kerang berkenaan dengan membawa pelbagai peralatan termasuk plastik, baldi dan bakul bagi mengisi kerang yang dikutip.
Rata-rata orang ramai yang ditemui menyifatkan ribuan kerang itu terdampar selepas fenomena air pasang dan ombak besar yang melanda Terengganu sejak beberapa hari lalu.
Salah seorang pengunjung, Rohani Ismail, 59, dari Kampung Sura Tengah berkata beliau bersama dua lagi anggota keluarganya mengambil peluang mengutip kerang berkenaan selepas melihat orang ramai berkumpul di pantai itu.
"Mulanya kak lalu tepi pantai ni sebab nak pergi rumah kawan, lepas tu tengok ramai orang berkerumun di tepi pantai kutip kerang...kak pun ambil bakul terus ke sini.
"Ni kali pertama kak tengok kerang yang banyak macam ni...tahun lepas pernah jugak kerang naik ke darat selepas ujan (hujan), tapi tak la banyak macam ni," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi seorang penjawat awam, Norlaili Samsinar Ahmad Zawawi, 25, yang berasal dari Pulau Pinang berkata beliau yang pulang bercuti di kampung suaminya turut mengambil peluang untuk mengutip kerang berkenaan.
"Memang ini kali pertama saya tengok sendiri kerang naik begitu banyak...kat tempat saya tak pernah terjadi macam ni, memang saya agak teruja dan terkejut sangat...bagaikan lautan kerang di sepanjang pantai ni.
Saya datang sini tak sampai 15 minit dah boleh penuh satu guni...bolehlah saya bawa balik ke negeri saya kerang ni nanti," katanya.
Sementara itu Siti Zafaliani Mohd Ali, 27, dari Dungun berkata kejadian itu mungkin disebabkan arus kuat dari muara sungai ke laut yang menolak ribuan kerang itu ke laut tetapi dihanyutkan semula ke pantai selepas dipukul ombak.
"Kawasan pantai sudah macam pesta tapi orang ramai sepatutnya perlu mengutamakan keselamatan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: