Dua peminat Nasi Lemak Spiderman tidak melepaskan peluang bergambar dengan Spiderman kembar selepas membeli nasi lemak itu, semalam.
KOTA BHARU - Jika sebelum ini muncul berseorangan, Nasi Lemak Spiderman terus mencipta tarikan tersendiri apabila watak Spiderman pelaris jualan ditampilkan berdua bagi menampilkan kelainan.
Idea itu timbul selepas pencetus fenomena nasi lemak itu, Zawawi Ghazali, 29, melihat sambutan yang diberikan orang ramai amat menggalakkan di setiap destinasi yang dikunjungi.
Katanya, sambutan diterima amat positif dan pelanggan juga teruja melihat aksi Spiderman menjual nasi lemak.
“Mulai minggu ini, kita tampilkan satu lagi watak Spiderman dengan sut khas 3D yang juga ditempah dari China dan saya harap orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap nasi lemak yang saya jual ini dengan harga berpatutan dan ditampilkan dalam konsep berlainan dari biasa.
“Sebelum ini saya seorang sahaja yang memakai sut Spiderman, namun untuk menampilkan sesuatu yang baru, saya bawakan seorang lagi watak kembar adiwira itu dan insya-ALLAH kita akan membuat pembaharuan dari masa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Zawawi berkata, rutin hariannya semakin sibuk dan beliau bersyukur sambutan orang ramai amat memberangsangkan dan sentiasa mengikuti lokasi terkini jualan nasi lemak terbabit melalui Facebook.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Norhayati Che Musa berkata, dia sering mengikuti perkembangan ‘Nasi Lemak Spiderman’ dalam laman sosial Facebook.
“Ini pertama kali saya membeli nasi lemak terbabit yang menunjukkan keunikan dan kelainan dalam jualan.
“Hari ini (semalam) saya beli enam bungkus dan kongsi dengan kawan-kawan dan selepas ini, insya-ALLAH saya akan terus memberi sokongan kepada usahawan muda ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: