Monday, February 29, 2016

Anugerah Oscar ke-88: Mampukah The Revenant cipta sejarah?



The Revenant
The Revenant
BAHANG kehangatan dan debaran menjelang Anugerah Academy (Oscar) kali ke-88 yang akan berlangsung 28 Februari ini di Dolby Theatre, California, Amerika Syarikat semakin terasa.
Selepas mengumumkan senarai penuh pencalonan, teka-teki siapakah yang bakal memenangi anugerah berprestij itu kembali diperkatakan.
Tentu sekali, perhatian terarah kepada filem The Revenant.
Selepas mengungguli Golden Globe ke-73 dan Anugerah BAFTA 2016 Britain, mampukah filem tersebut mencipta sejarah dan mengungguli Anugerah Oscar 2016?
Filem arahan Alejandro Inarritu ini dilihat berpotensi untuk menang besar selepas tercalon dalam 12 kategori.
Bahkan untuk rekod, Inarritu sudah membolot anugerah pengarah terbaik dalam dua majlis anugerah yang berbeza.
Filem yang diadaptasi daripada sebuah novel dengan judul yang sama ini mendapat respons positif pengkritik filem yang melihat ia filem yang hebat.
The Revenant tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Loenardo DiCaprio), manakala Inarritu sekali lagi tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik dan Tom Hardy (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).
Selain itu, The Revenant turut tercalon dalam kategori Sinematografi Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Suntingan Terbaik, Solekan Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Bunyi Terbaik, Visual Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik dan Filem Terbaik.
Mengikut rapat senarai pencalonan adalah filem Mad Max: Fury Road yang tercalon dalam 10 kategori antaranya, Filem Terbaik, Rekaan Produksi, Kesan Visual, Sinematogri, Suntingan Bunyi dan Adunan Bunyi.
Majlis penganugerahan Oscar yang ke-88 ini bakal dihoskan pelakon komedi, Chris Rock yang pernah menggalas tugas sama pada 2005.

Impian DiCaprio jadi kenyataan?
Sementara itu, impian DiCaprio untuk menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diramal bakal menjadi kenyataan.
Apatah lagi, pencalonan kali ini merupakan pencalonan kelima dalam kerjayanya.
Sebelum ini dia tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Aviator (2005), Blood Diamond (2007), The Wolf of Wall Street (2014) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem What’s Eating Gilbert Grape (1993).
Dengan kemenangannya dalam Anugerah Golden Globe dan BFTA, aktor berusia 42 tahun itu dilihat mempunyai potensi besar untuk dipilih memenangi kategori berkenaan.
Manakala Jennifer Lawrence dan Cate Blanchett terus jadi pilihan ramai dan diramalkan bersaing sengit untuk memenangi anugerah Aktres Terbaik.
Namun dalam masa yang sama, peramal Oscar ke-88, tidak memandang rendah kemampuan aktres muda, Saoirse Ronan yang kembali tercalon menerusi kategori yang sama setelah pertama kali dicalonkan ketika usia 13 tahun pada 2007.
Bagaimanapun untuk mendapatkan jawapan pemenang penuh Oscar ke-88, jangan lupa untuk menyaksikan anugerah berprestij itu yang disiarkan secara langsung menerusi Astro HBO (saluran 411/430) pada 9.39 pagi tadi (waktu tempatan).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: