Saturday, February 20, 2016

Pengorbanan Lily James berbaloi



Pengorbanan Lily James berbaloi
Lily James
KARAKTER sebagai puteri idaman benar-benar melonjakkan nama pelakon genit, Lily James dalam bidang perfileman Hollywood.
Pemilik nama sebenar Lily Chloe Ninette Thomson ini merasakan watak Ella dalam filem Cinderella, sebagai mimpi yang menjadi kenyataan!
"Selepas melalui beberapa percubaan, saya akhirnya berjaya mendapat watak itu. Sudah tentu saya takut, maklumlah, Cinderella bukan calang-calang karakter.
"Apatah lagi, setiap individu ada persepsi tersendiri terhadap Cinderella, tidak kira sama ada dalam buku cerita mahupun filem animasi,'' katanya.
Malah, James mengakui seronok berlakon filem itu kerana inti patinya adalah mengenai kekuatan semangat Ella dan bagaimana mengekalkan kebaikan selain sentiasa bersikap positif walaupun dilayan buruk keluarga tirinya.
Lebih berbaloi, James berusaha bersungguh-sungguh demi memastikan filem garapan Ken Branagh itu berjaya sekali gus meletakkan namanya dalam senarai A di Hollywood.
"Saya membaca buku beberapa tokoh disegani dunia termasuklah Mahatma Gandhi yang dapat menangani kehidupan dengan cara yang saya tidak mampu.
"Jadi, demi memastikan watak Ella nampak realistik dan melekat di hati penonton, saya tidak kisah meletakkan lebih usaha kali ini,'' katanya.

Jadi pejuang zombi
Kini, James bakal muncul dalam filem terbaharunya, Pride and Prejudice and Zombies.
Dalam filem arahan Burr Steers itu, James memegang watak Elizabeth Bennet di samping Suki Waterhouse, Bella Heathcote, Ellie Bamber dan Millie Brady.
James yakin tidak akan mengecewakan peminat novel Janes Austen menerusi karya terbaharunya itu.
"Sudah tentu saya menerima pelbagai reaksi yang berbeza.
"Jujurnya, apabila saya membaca skripnya, ia terlalu bagus dengan pelbagai emosi yang ada,'' katanya.
Pride And Prejudice And Zombies mengisahkan wabak misteri yang melanda England pada abad ke-19 apabila ia dibanjiri zombi.
Seorang heroin yang berani, Elizabeth Bennet dan pembunuh zombie, Mr Darcy, perlu bersatu menumpaskan zombi-zombi tersebut.
Apakah yang terjadi? Jangan lupa menontonnya di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: