Tuesday, February 23, 2016

'Nasi bajet' tawar pelbagai menu




'Nasi bajet' tawar pelbagai menu

KETIKA masyarakat mengeluh tentang kenaikan harga barangan, sebuah gerai makan berhampiran Mydin Meru, Klang, menawarkan ‘nasi bajet’ yang dikenali sebagai Nasi Magic dengan lebih 30 jenis hidangan lauk pauk.
Dengan harga RM4, pelanggan boleh memilih menu pilihan yang ditawarkan seperti ayam goreng, ayam masak merah, rendang ayam, kari ikan, masak lemak cili padi dan ikan keli masak merah disajikan bersama sayur campur, ulam-ulaman, ikan masin serta sambal belacan.
Tidak hairan, kedai dibuka sekitar Oktober tahun lalu itu, kini mendapat sambutan ramai ditambah hidangan memenuhi cita rasa pelbagai bangsa.
Pengusaha gerai, Mohd Ezayddy Mohd Sofian, 34, berkata, dia mendapat ilham untuk memulakan perniagaan itu setelah memikirkan pendapatan tidak seberapa yang diperoleh ketika berniaga di pasar malam sekitar Ipoh.
“Sebelum ini pun saya berniaga di pasar malam tetapi jual makanan seperti soto, laksa, nasi lemak termasuk masakan Barat.
“Namun, atas faktor persaingan dan cuaca menyebabkan saya terfikir untuk berniaga pada sebelah siang selain tawarkan satu produk yang murah dan digemari orang ramai,” katanya.
Menurutnya, meskipun harga makanan yang ditawarkan lebih rendah daripada kebanyakan gerai lain, namun dirinya masih memperoleh keuntungan sepertimana yang diharapkan.
“Alhamdulillah, secara purata 450 bungkusan nasi dijual setiap hari dan pernah dijual lebih 700 bungkusan sehari,” katanya.
Perniagaannya dibantu ibunya, Saadah Saad, 56, dan isteri, Murniwati Akma Ahmad Khusairi, 36.
“Saya juga turut menggaji empat kerja untuk memudahkan urusan jual beli dengan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, perniagaannya itu bermula dari jam 11 pagi sehingga 5 petang dan beroperasi pada setiap hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: