Friday, February 26, 2016

Rekaan terbaru Bianco Mimosa




Rekaan terbaru Bianco Mimosa
Ida Suraya bersama model yang menggayakan rekaan terbaharu busana pengantin Bianco Mimosa.
MENYUSUN langkah baharu seiring kemunculan 2016, jenama rekaan terkenal tanah air, Bianco Mimosa bakal mengadakan majlis pertunjukan fesyen bertemakan Koleksi Busana Pengantin Bridal Couture 2016.
Dalam satu sidang media yang bertempat di KLCC minggu lalu, Pengarah Urusan Bianco Mimosa Sdn Bhd merangkap pereka fesyen serta pengasas butik Bianco, Datuk Ida Suraya Mustapha berkata, majlis gilang-gemilang itu bakal diadakan pada 28 Februari ini.
“Menghimpunkan 25 rekaan busana yang terdiri daripada empat busana pengantin lelaki dan 21 busana pengantin perempuan, koleksi diterjemahkan dalam tata gaya adibusana couture dan demi couture.
“Mengambil tempoh selama enam bulan untuk menggarap idea bertemakan fantasi, setiap busana yang akan diperagakan nanti mempunyai elemen dan penceritaan tersendiri.
"Saya seorang yang gemar melancong dan boleh dikatakan saya sudah pergi ke serata pelosok dunia, maka rekaan pengantin kali ini ibarat titipan perjalanan saya yang diterjemahkan dalam jahitan fabrik,” katanya.
Mengumpamakan rekaannya sebagai rangkuman eksperimentasi keindahan bumi Cappadocia Turki dan pesona Menara Eifel di Perancis, kesemua busananya nanti menggunakan fabrik dan perincian manik yang diimport dari luar negara seperti chiffon, silk, dutches, organza silk dan satin silk.
Teknik yang digunakan adalah pleating, sulaman tangan dan manik serta teknik manipulasi fabrik yang memberikan impak seni dan dramatik.
Bianco Mimosa merupakan nama dan jenama besar negara begitu pun, kata Ida Suraya, beliau tidak semestinya menjual rekaan dengan harga yang mahal, malah busana pengantin serendah RM300 turut dijual.
“Kami menawarkan harga untuk segenap lapisan masyarakat. Dari yang murah sehingga infiniti (custom made mengikut tempahan pelanggan). Boleh datang ke butik di Pusat Komersial TSB Sungai Buloh untuk melihat sendiri variasi pakaian yang dijual atau menerusi Instagram Mybiancomimosa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi peluang kepada usahawan baharu yang ingin menceburkan diri dalam bidang rekaan dan jualan pakaian dengan menawarkan perkhidmatan konsultasi dan jahitan pukal.
“Boleh datang ke Bianco Mimosa. Kami jahit dan anda label jenama anda sendiri. Buat masa ini tak kisah berapa jumlah tempahan, kami buka ruang dan peluang bergantung kepada tempahan dan masa.
“Saya sudah berada lama dalam bidang ini, tambahan pula bidang kejuruteraan dan pembuatan yang banyak membantu saya mengenali pengeluar-pengeluar fabrik. Saya pasti harga ditawarkan sangat berbaloi dengan kualiti yang akan pelanggan terima,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: