Saturday, February 20, 2016

Remaja Melayu minat tarian singa




Remaja Melayu minat tarian singa
Dari kanan; Halil, Mohd Hawri, Mohd Faizul dan Mohd Ilham.
PONTIAN - Minat dengan seni tarian singa mendorong empat remaja berketurunan Melayu gigih mempelajari seni tarian kaum Tionghua.
Halil Halim Azmi, 17, bersama tiga lagi rakannya, Mohd Hawri Amin, 17, Mohd Faizul Qaed, 21, dan Mohd Ilham Jamaludin, 14, gigih menjalani latihan di bawah bimbingan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng.
Katanya, mereka berempat diberi kepercayaan menjayakan persembahan tarian singa di merata tempat di sekitar daerah sejak setahun lalu.
"Kami memang tak ada asas menari tarian singa sebab sebelum ini hanya lihat di televisyen sahaja.
"Namun selepas dipelawa oleh seorang pakcik daripada Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng, minat mula timbul untuk mempelajari seni tarian singa," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, Taman Desa Sri Ara, Kayu Ara Pasong, di sini, baru-baru ini.
Menurut Halil, pada mulanya mereka hanya memenuhi pelawaan untuk datang melihat latihan tarian naga yang dikendalikan pihak persatuan di sebuah sekolah di bandar Pontian.
“Tenaga pengajar persatuan kemudiannya memberikan kami tunjuk ajar asas tarian singa.
“Mula-mula rasa malu kerana kami langsung tak tahu menari, tetapi lama-kelamaan kami dapat ikuti langkah asas yang diajar dan kami gembira melakukannya. Malah, ramai yang terkejut bila lihat remaja Melayu yang mempersembahkan tarian singa," katanya.
Bagi Mohd Hawri, dia tidak menghadapi masalah untuk berlatih memandangkan Halil dan Ilham turut belajar di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Dato Ali Haji Ahmad (SDAHA).
“Kami bertiga mudah untuk ke tempat latihan bagi menjalani latihan asas tarian singa yang diadakan ketika cuti hujung minggu.
“Saya gembira dapat menarikan tarian singa yang cukup sinonim dengan kaum Cina di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, bagi Mohd Ilham pula, dia berharap akan dapat mempelajari lebih mendalam tentang tarian singa terutama dari segi gerak geri langkah tarian yang disifatkan cukup mencabar seperti sedang berkungfu.
“Jika diberikan peluang saya mahu menjadi penari tarian singa profesional. Peluang diberikan pihak persatuan amat dihargai kerana saya dapat menunjukkan bakat dalam kesenian ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: