Shae atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, 22, berkata, dia terlalu memikirkan pandangan negatif orang sekeliling yang menganggapnya tidak berbakat sehingga menjadikan dia kurang yakin untuk menyanyi.
"Saya berada dalam keadaan tertekan selama enam bulan kerana tidak mampu mengawal pandangan masyarakat yang menganggap saya tidak boleh menyanyi.
"Perkara itu membuatkan saya lari dari rumah dan sentiasa bersendirian sehingga rakan-rakan meminta saya menjalani rawatan hipnoterapi dan Alhamdulillah kini saya sudah pulih," ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya, perkara tersebut membuatkan dia terpaksa mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan album berkenaan.
"Itu juga menjadi masalah utama sepanjang menghasilkan album baru ini yang mengambil masa agak panjang.
"Sekarang selepas rawatan itu, saya sudah boleh selesaikan masalah yang saya hadapi dengan sendiri dan mengawal fikiran saya supaya tidak terlalu memikirkan perkara itu," ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap soal teman lelaki, Shae berkata, dia masih tidak menemui lelaki yang dapat menerima dirinya.
Kata Shae, perwatakan dan karekternya yang berbeza-beza membuatkan dia sukar didekati oleh lelaki.
"Saya masih single dan saya rasa susah untuk cari lelaki yang sesuai dengan saya serta menerima saya seadanya.
"Saya seorang yang mempunyai banyak karekter, sekarang saya lain dan esok saya boleh jadi seperti orang lain pula," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang album Seperti Magic, Shae berkata, ia memuatkan sebanyak lapan buah lagu terbaharu ciptaan komposer Posan Tobing.
Manakala dua buah lagu lain bertajuk Pecah dan Cantik merupakan ciptaannya sendiri.
"Terdapat 10 buah lagi dalam album ini dan empat daripada itu sudah boleh didengari di iTunes iaitu Seperti Magic, Dream, Aku Suka Kamu dan Gojigo," ujarnya.
Album Seperti Magic akan dilancarkan secara digital pada 18 Mac depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: