Hisyam Hamid
SELEPAS dilanda kontroversi gara-gara aksi berpelukan dengan penyanyi, Ifa Raziah dalam satu program realiti, pelakon tampan, Hisyam Hamid mengakui dirinya semakin matang dalam memilih watak.
Malah anak kelahiran Singapura ini menganggap kontroversi yang dilaluinya sebagai asam garam dalam kehidupan.
"Kontroversi lalu tidak memberi kesan negatif kepada saya. Kalau diikutkan, sebenarnya saya lebih rela tiada cerita daripada ada cerita yang kurang enak.
"Tetapi, pengalaman lalu membuatkan saya lebih berfikiran luas dan jauh.
"Bahkan, saya menjadi lebih berhati-hati dalam memilih watak agar ia tidak berulang kembali," katanya kepada Zass.
Begitupun, pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya ini tetap melihat pada kekuatan skrip sebelum bersetuju menerima sesuatu watak.
"Jika skrip dan jalan ceritanya menarik, saya tidak teragak-agak untuk menjayakan watak yang ditawarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hisyam ini tetap beranggapan dirinya sebagai pendatang baharu meskipun sudah dua tahun membina nama di Malaysia.
"Saya masih lagi artis baharu malah saya sedang berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai pelakon dalam industri hiburan," katanya.
Pada masa sama, pelakon berusia 31 tahun ini mengakui teruja berlakon dalam drama bersiri, Isteri VS Tunang arahan Michael Ang.
"Sebenarnya, saya sudah lama punya keinginan untuk berlakon di bawahnya.
"Alhamdulillah, saya mendapat tawaran untuk watak Zaim Azfar dan berpeluang berlakon di samping Scha Al-Yahya dan Sharifah Sakinah.
"Michael seorang yang sangat kreatif. Kadang-kadang, dia akan cuba membuat satu-satu babak itu kelihatan lebih menarik dan seronok untuk ditonton," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hisyam sedang meneliti beberapa tawaran yang kesemuanya masih lagi dalam proses perbincangan.
"Saya lebih selesa fokus pada satu-satu projek sebelum bersedia menerima tawaran lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: