Saturday, February 20, 2016

Bateri pengganti penjana kuasa petrol




Bateri pengganti penjana kuasa petrol
Bateri Pac C13 dijual secara set dengan anggaran harga RM1,200.
BERDASARKAN kesusahan dan kesukaran berniaga di pasar malam yang menggunakan penjana kuasa petrol ketika mula-mula berniaga dulu, menyebabkan Mohd Feroz Zainal menghasilkan satu alat yang boleh menggantikan penjana kuasa petrol.
Mohd Feroz mengakui, berhadapan pengalaman pengurusan penjana kuasa petrol ketika baru berkecimpung di dunia perniagaan pada 2011.
"Saya terpaksa berurusan dengan penjana kuasa petrol dan pada masa yang sama mengusahakan makanan. Ia menghasilkan bunyi dan bau tidak menyenangkan.
"Saya berniaga makanan, sudah pasti bau itu menjejaskan bau piza yang dijual," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Mohd Feroz turut berpendapat, kos penyelenggaraan penjana kuasa petrol sangat mahal, boleh mencecah sehingga RM1,600 setahun.
Perniagaan Mohd Feroz yang ketika itu juga mula berkembang secara francais, terpaksa berhadapan kos-kos yang semakin meningkat terutamanya harga bahan bakar.
Bagi memudahkan perniagaan francaisnya itu, Mohd Feroz yang dikenali menerusi jenama pizanya, LPizz Pizza itu, mula mencari jalan penyelesaian kepada penjana kuasa petrol.
Menurutnya, pada mulanya pelbagai cara digunakan bagi menghasilkan bateri tersebut seperti menggunakan bateri kenderaan. 
Bagaimanapun katanya, bateri kenderaan tidak sesuai digunakan kerana ia berbahaya dan tidak selamat digunakan kerana boleh mengakibatkan bateri itu  meletup.
Kajian demi kajian, cubaan demi cubaan akhirnya, Mohd Feroz yang juga Pengarah Urusan Conjunto Thirteen Sdn Bhd itu, berjaya menghasilkan bateri pengganti penjana kuasa petrol dikenali Bateri Pack C13 pada 2012.
Bateri itu dihasilkan selepas membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan dengan menggunakan bateri magnesium.
Sehingga kini, kesemua 35 francaisnya di seluruh negara menggunakan bateri tersebut.

Patenkan bateri 
Pada Jun 2014 lalu, Mohd Feroz berkata, pihaknya mempatenkan Bateri Pack C13 dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPo).
"Tiada lagi di negara ini yang menghasilkan produk seumpama ini dan ia adalah yang pertama di Malaysia.
"Konsep penggunaan mudah, pengguna hanya perlu mengecas bateri setiap kali selepas digunakan, sama seperti penggunaan power bank," katanya.
Mengulas kelebihan produk itu, Mohd Feroz berkata, bateri itu boleh dicas sehingga 2,000 kali bersamaan dengan 2,000 malam penggunaan (lapan jam satu malam), pencahayaan baik, ringan iaitu hanya enam kilogram (kilo) seunit, tiada kos penyelenggaraan dan boleh untuk mengecas telefon.Menurutnya, bateri ini juga tidak menggunakan minyak, tiada asap, tiada bunyi dan mudah dikendalikan sesiapa sahaja.
Selain digunakan untuk tenaga kuasa di pasar malam, pihaknya juga menggunakan bateri itu pada truk makanan Lpizz Piza.

Bakal dikomersialkan 
Mohd Feroz berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan dana membolehkan produknya dikomersilkan.
"Setakat ini, pengeluaran bergantung kepada permintaan. Rata-rata yang menggunakan produk ini adalah francais Lpizz Piza dan peniaga sekitar Selangor," katanya.
Buat masa ini, harga bateri itu dijual dengan anggaran RM1,200 seunit berbanding RM500 atau RM600 bagi penjana kuasa petrol.
"Kami bakal mengurangkan harga sehingga RM600 seunit kelak," katanya.
Conjunto Thirteen juga telah berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan bagi memberikan penerangan tentang produknya agar dapat diguna oleh pengusaha pasar malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: