Friday, February 12, 2016

Guna lesung batu hasil nyor gula




Guna lesung batu hasil nyor gula
Peranannya sebagai ketua keluarga mendorong Maznah mengusahakan kerisik sebagai sumber rezeki.
BIARPUN terdapat pelbagai alat pengisar di pasaran yang dapat memudahkan kerja, namun seorang nenek tiga cucu yang menjalankan perusahaan kerisik di sini tetap setia dengan cara tradisional menggunakan lesung batu.
Maznah Tahar, 51, mempunyai empat lesung batu khusus untuk menumbuk kelapa yang telah digoreng bagi menghasilkan kerisik atau lebih dikenali sebagai nyor gula dan cara lama masih menjadi pilihan kerana kerisik dihasilkan lebih wangi serta tahan lama.
Menurut ibu tunggal tujuh anak ini, walaupun pembuatan secara tradisional amat memenatkan kerana memerlukan lebih tenaga, namun cara itulah membuatkan kerisik diusahakannya sejak sembilan tahun lalu berbeza.
“Ramai memilih cara moden yang menggunakan alat pengisar kerana dapat jimat masa, tenaga dan mudahkan kerja, namun sehingga kini saya lebih selesa guna lesung batu untuk menumbuk kelapa walau banyak. Kalau diikutkan memanglah penat, tetapi saya mahu kekalkan tradisi dan rasanya.
“Kelapa parut ditumbuk dengan lesung batu bukan sahaja lebih wangi dan tahan lama sehingga menjangkau tempoh setahun, tetapi minyaknya juga begitu jernih berbanding nyor gula dihasilkan dengan cara moden. Sekarang saya guna empat lesung batu untuk hasilkan nyor gula secara kecil-kecilan di rumah, dengan dibantu anak dan ahli keluarga lain,” katanya.
Menurut Maznah, secara puratanya dia memperoleh RM300 sebulan hasil jualan kerisik dan pendapatan itu akan meningkat pada musim cuti sekolah serta perayaan kerana ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan serta memerlukan kerisik untuk masakan gulai.
Katanya, harga kerisik bekas kecil RM1, bekas besar RM4, manakala RM30 untuk satu kilogram kerisik yang boleh digunakan untuk memasak empat kawah gulai, selain boleh dijadikan penambah rasa masakan sayur lemak seperti nangka dan belimbing.
“Saya sendiri tidak menyangka nyor gula memberikan sumber rezeki untuk saya sekeluarga. Semuanya bermula apabila saya ambil alih tugas sebagai ketua keluarga setelah suami meninggal dunia pada Mei 2007. Ketika itu anak-anak masih kecil dan bersekolah.
“Seorang saudara cadangkan saya hasilkan nyor gula untuk diletakkan di Pasar Kuala Berang. Kali pertama buat, saya dapat RM15 untuk 21 bekas kerisik. Alhamdulillah, sehingga kini saya mempunyai lebih kurang 10 peniaga,” katanya.
Kata Maznah lagi, walaupun proses menghasilkan kerisik bukan kerja mudah kerana memerlukan kesabaran yang tinggi, terutama sewaktu proses menggoreng kelapa parut yang mengambil masa selama 40 minit bagi sebiji kelapa.
“Proses menggoreng ini agak memakan masa, mungkin juga boleh membuatkan seseorang bosan. Biasanya, saya ambil masa lebih kurang dua jam bermula dari proses menggoreng sehinggalah pembungkusan.
“Lagipun orang zaman sekarang semuanya hendak mudah dan cepat, sebab itulah permintaan terhadap nyor gula sentiasa ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: