Friday, February 26, 2016

Kaji semula syarat kelayakan




Kaji semula syarat kelayakan
Dr Noor Azmi (kiri) menyerahkan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia kepada seorang ibu yang mewakili anaknya sambil diiringi Pengetua SMK Alang Iskandar, Zulkipli Abdul Rahman (tengah).
BAGAN SERAI - Kerajaan pusat perlu mengkaji semula syarat kelayakan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 bagi mengelak ibu bapa terus terhimpit dengan isu kenaikan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah kerajaan mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia diletakkan syarat kelayakan lebih ketat iaitu hanya diberi kepada keluarga atau penjaga berpendapatan RM3,000 ke bawah difahami pihaknya setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa ketika ini.
Bagaimanapun, pihaknya berpendapat syarat kelayakan keluarga pelajar menerima bantuan itu perlu diselaraskan dengan syarat kelayakan pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu berpendapatan per kapita RM4,000 ke bawah.
“Inisiatif menyelaraskan syarat kelayakan bantuan awal persekolahan dengan BR1M amat penting memandangkan golongan ini paling terkesan dalam menghadapi isu kenaikan kos sara hidup.
“Awal tahun ini, saya menerima banyak rungutan daripada ibu bapa yang kecewa anak mereka tidak lagi berkelayakan menerima bantuan RM100 sebagaimana tahun-tahun sebelum.
“Adakah golongan ibu bapa berpendapatan RM3,000 ke atas menjalani hidup lebih senang daripada RM3,000 ke bawah? Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa menanggung anak ramai? Saya gesa pertimbangan syarat kelayakan perlu dijalankan kajian semula,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar.
Dr Noor Azmi berkata, pihaknya peka dengan kegusaran dihadapi ibu bapa akibat senario itu dan bersedia membahaskannya apabila sidang Parlimen berlangsung bermula 7 Mac ini.
Menurutnya, penyaluran bantuan kerajaan amat penting bagi memastikan tiada pelajar tercicir sekolah akibat ketidakmampuan ibu bapa membiayai persekolahan mereka.
“Saya fikir perkara ini serius dan berharap ia mendapat respons positif pihak kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi turut menggesa orang ramai untuk menghadiri program Masyarakat Sihat Parlimen Bagan Serai anjuran bersama kesemua agensi kerajaan, Kelab Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Bagan Serai dan pelbagai NGO di Mini Stadium Bagan Serai, di sini pada 27 Februari ini.
Menurutnya, program dijangka dihadiri lebih 2,000 hadirin bertujuan mencari titik persamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Parlimen Bagan Serai melalui aktiviti sukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: