Tuesday, February 23, 2016

18 Artis Terlibat Konsert Percuma Bantu SM Salim




Antara artis dan mereka yang terlibat dalam konsert bagi mengutip dana membantu Tan Sri SM Salim. 
KUALA LUMPUR: Seramai 18 artis generasi baharu dan lama bakal bergabung menjayakan konsert tribute untuk penyanyi terkenal Tan Sri SM Salim.

Pengerusi Yayasan Artis Satu Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave berkata, konsert berkenaan adalah yang pertama kali diadakan bagi meraikan karier seni SM Salim selama 50 tahun.

"YA1M berbesar hati dapat menganjurkan konsert khas ini bagi meraikan legenda muzik yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan industri muzik di negara ini.

"Insya-Allah persembahan istimewa itu nanti akan diserikan dengan persembahan 18 artis generasi lama dan baharu yang akan mendendangkan lagu-lagu terbaik SM Salim," katanya kepada mStar Online.
DJ Dave

DJ Dave ditemui pada sidang media Tribute To Living Legend Concert - Tan Sri SM Salim di sini, Isnin.

Ia bakal diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada 12 Mac depan, pukul 8.30 malam.

Artis yang bakal mengadakan persembahan adalah Datuk DJ Dave sendiri, Datuk M. Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh, Zur Eda, Usop (Kopratasa) dan Noraniza Idris.

Manakala artia generasi baharu ialah Raihan, Asmidar, Ezad Lazim, Bob Yusof, Datin Alyah, Syafinaz, Haziq, Zahid dan Syafinaz Choir.

SM Salim akan hadir pada konsert penghargaan tersebut.

Persembahan artis pada malam itu akan diiringi oleh Orkestra DBKL manakala Faizal Ismail bertindak sebagai pengacara majlis.

Dalam pada itu, DJ Dave berkata, selain menghargai jasa SM Salim, konsert itu turut diadakan bagi mengumpul dana yang sebahagiannya akan disumbangkan kepada penyanyi veteran itu.

Selebihnya kata DJ Dave, hasil kutipan akan dimasukkan ke dalam tabung YA1M bagi kegunaan membantu lebih banyak golongan artis pada masa hadapan.

Noraniza Idris

"Alhamdulillah setakat ini pihak kami telah pun mengumpul dana sebanyak RM50,000 daripada badan korporat dan persendirian menerusi konsert ini.

"Kami tiada sasaran tertentu namun berharap hadirin yang datang sudi menyumbangkan wang tunai bagi diserahkan kepada SM Salim dan tabung YA1M," ujarnya.

Sementara itu, DJ Dave berkata, konsert berkenaan tidak dikenakan bayaran namun mengalu-alukan penonton memberi derma sebelum atau pada hari konsert berlangsung.

Malah katanya, setiap derma yang diberi akan diberikan resit untuk digunakan bagi pengecualian cukai taksiran.

"Kita tidak menjual tiket bagi yang ingin menyaksikan konsert ini tetapi mengalu-alukan sumbangan bagi tujuan disebutkan tadi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: