Asfan bersama keluarga tercinta.
BERSIKAP lebih positif, penyanyi dan komposer Asfan Shah, 32, menganggap kontroversi yang melibatkan pertelingkahan bersama adik iparnya tahun lalu sebagai pergaduhan manja dalam hubungan kekeluargaan.
Malah dia juga enggan lagi memperbesarkan perkara tersebut kerana baginya ia hanya akan lebih mengeruhkan keadaan.
“Apa yang berlaku ini saya anggap sebagai masalah keluarga yang tidak perlu dihebohkan.
“Ketika perkara ini berlaku, ada pihak yang cadangkan saya untuk mengambil tindakan undang-undang tapi saya menolak kerana ia tiada manfaat malah lebih memburukkan keadaan antara kami sekeluarga.
“Tiada siapa yang betul atau salah kerana yang penting keadaan akan pulih seperti sedia kala,” katanya.
Asfan bagaimanapun menafikan kariernya terjejas malah bersyukur kerana apa yang berlaku sedikit sebanyak memberi hikmah kepada karier seninya.
“Alhamdulillah, kontroversi seperti itu tidak langsung menjejaskan karier saya malah boleh dikatakan ia lebih membuka ruang kepada saya untuk teruskan karier.
“Sepanjang kontroversi itu, saya tidak pernah lari daripada memberi sebarang kenyataan dan itu tidak bermakna saya mahu mencari publisiti murahan,” katanya tenang.
Sebelum ini media tempatan melaporkan Asfan ditumbuk adik iparnya kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan dua anaknya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, penyanyi lagu Alasan Untuk Bahagia ini sedang sibuk menyiapkan album pertamanya.
“Sekarang saya masih dalam proses merakam beberapa lagu yang turut melibatkan kolaborasi pendatang baharu yang bernaung di bawah syarikat rakaman saya iaitu Black Beast Entertainment.
“Dalam album ini juga saya akan menyelitkan beberapa lagu lama yang masih lagi dalam proses pemilihan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: