Sunday, February 21, 2016

Pesakit jantung: Danish perlu dana segera




Pesakit jantung: Danish perlu dana segera
Muhammad Danish Irfan memerlukan dana segera untuk pembedahan.
KULIM - Seorang bayi berusia 22 hari perlu dibedah segera kerana mengalami masalah jantung.
Ibu bayi berkenaan, Rosmalina Abdullah, 36, berkata, anak bongsunya, Muhammad Danish Irfan Mohd Hanizal disahkan menghadapi masalah jantung selepas dilahirkan pada 29 Januari lalu di Hospital Kulim.
Menurutnya, dia memerlukan dana sebanyak RM80,000 secepat mungkin bagi menampung kos rawatan anaknya itu.
"Doktor minta saya cari segera dana dalam tempoh dua minggu. 
"Anak saya perlu lakukan pembedahan untuk kurangkan risiko. Kalau tunggu makin lama, harapan makin tipis," katanya. 
Bagaimanapun katanya, sejak rakannya memaparkan kisah penderitaan bayinya itu di Facebook, kini kutipan dana sudah mencecah RM10,000.
"Tapi masih tak cukup. Saya perlukan ihsan orang ramai kerana kami tak mampu tanggung kos berpuluh ribu itu," katanya. 
Rosmalina berkata, dia hanya sempat bersama anaknya semalaman sebelum doktor membuat pemeriksaan dan sahkan ia mempunyai masalah jantung serta perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
"Lepas lahirkan dia, saya nak bagi susu tapi anak tak mahu. Sehari selepas itu, doktor datang periksa dan dapati anak saya ada masalah jantung.
"Disebabkan tak ada pakar di Hospital Kulim, Danish dihantar ke Hospital Gleneagles (GMC) Pulau Pinang selama dua minggu sebelum dibawa pulang semula ke Kulim,”katanya.
Rosmalina berkata, dia dan suami begitu teruja untuk menyambut kehadiran orang baharu di dalam keluarga setelah empat tahun menanti. 
"Dah lama kami tunggu kelahiran anak lelaki dalam keluarga," katanya.
Lebih memilukan katanya, empat anaknya yang lain sering bertanya dan mahu melihat anak bongsu mereka.
Bagi sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 02-057-02-259824-7 Rosmalina Abdullah atau menghubunginya di talian 017-5688133.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: