Sunday, February 21, 2016

Sambutan hangat ceramah UAI




Sambutan hangat ceramah UAI
UAI memberikan ceramah dan menjawab soalan dari peminatnya, semalam.
KOTA BHARU - Bukan sahaja warga emas, namun kehadiran pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mendapat sambutan dalam kalangan orang muda yang berada di barisan hadapan kuliah pagi Jumaat, semalam.
Peminat datang bukan sahaja dari Kota Bharu, malahan hampir 10,000 mereka hadir membawa anak kecil, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka yang datang dari pedalaman daerah termasuk Kuala Krai, Machang dan Rantau Panjang.
Bagi Mohd Izzat Razali, 23, dari Machang, orang ramai yang memenuhi Dataran Ilmu pagi semalam cukup menguja apabila orang ramai bersesak dan berhimpun untuk mendapatkan ilmu panduan dari UAI.
“Saya kerap juga datang ke sini (Dataran Ilmu), tetapi hari ini ia berganda berbanding hari Jumaat yang lain terutama dalam kalangan orang muda berebut untuk duduk di hadapan.
“Beliau (UAI) ini istimewa dan lucu dalam mengajar tentang cara hidup kita dalam masyarakat, sebab itulah kehadiran beliau ditunggu oleh rakyat Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Husdaini Mamat, 63, dari Pachor, Pengkalan Chepa juga tidak pernah ketinggalan hadir Kuliah Jumaat turut menyatakan semangatnya semasa kehadiran UAI.
Dalam kuliah Azhar sempat menjawab beberapa soalan mengenai hukum manusia dalam berpasangan mengikut al-Quran dan hadis, menyebut ‘Innalillah’ ketika ditimpa apa-apa musibah termasuk hilang pekerjaan atau wang.
“Hukum aurat ipar duai yang tinggal sebumbung boleh menyingsing tangan hingga ke siku semasa membasuh pinggan dan memasak, tetapi jika tidak tinggal sebumbung, aurat itu hanya meliputi muka dan tapak tangan,” katanya.
Pendengar juga turut didedahkan mengenai wanita dibolehkan bersolat ketika solat Jumaat dijalankan semasa di masjid, namun bagi lelaki yang menjalankan solat Zohor, mereka tidak boleh menunaikan sembahyang semasa solat Jumaat sedang berlangsung.
“Orang ni dia baru masuk Islam, tanya mengenai adap dengan ibu bapa sekiranya menziarahi rumah keluarga yang memelihara anjing, jadi tiada masalah pergi ziarah keluarga mu (kamu) walaupun keluarga mu tak masuk Islam kerana dengan ziarah, kasih sayang jadi lebih mendalam.
“Tak batal air sembahyang kalau tukar agama, masuk Islam, tak batal mahram, jadi semasa ziarah, ciumlah tangan ibu bapa sebagai tanda hormat orang tua dan kalau terpijak najis, barulah samak. Boleh elak dengan pakai selipar dalam rumah,” katanya.
Katanya, ada juga orang yang bersumpah sekiranya penyakit sembuh, dia bersumpah mahu mengahwinkan orang yang berubat atau bomoh yang mengubati anaknya, sedangkan perkara itu tidak perlu ditunaikan.
“Kita hanya boleh bersumpah dengan diri kita, contoh ada pelajar bersumpah, kalau lulus peperiksaan (SPM), dia mahu kawannya yang lain berpuasa tiga hari… mana boleh, mu bersumpah, mu la puasa, mana boleh suruh orang lain berpuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: