Saturday, February 20, 2016

Makanan kegemaran jadi rezeki




Makanan kegemaran jadi rezeki
Ros menyediakan JCJ cheese yang ditempah pelanggan
KUALA TERENGGANU - Seorang ibu dua anak menjadikan makanan kegemarannya sebagai sumber rezeki apabila dia mencipta resipinya yang diberi nama jagung cheese jetakk (JCJ) sejak Disember lepas dan ternyata ia mendapat sambutan ramai.
JCJ yang dahulunya dijual melalui dalam talian kini dikembangkan dengan pembukaan sebuah gerai di Kampung Kepong dengan harapan perniagaan itu dapat dimajukan lagi pada masa akan datang.
Usahawan berusia 32 tahun dari Kampung Atas Tol, Rosmawati Md Zin berkata, pada mulanya dia yang merupakan seorang penggemar jagung dan cheese (keju) terfikir untuk mencipta resipi bagi membolehkan jagung rebus habis dimakan  keluarganya.
“Resipi ini dicipta pada tengah malam apabila setelah membeli jagung dan direbus, saya terfikir mencuba sesuatu yang baharu supaya jagung rebus ini dihabiskan dan tanpa berfikir panjang saya meletakkan sedikit susu pekat, kemudian di parut keju di atasnya.
“Apabila saya membuat resipi ini, ternyata semua ahli keluarga menyukainya termasuk anak-anak sebelum diperkenalkan kepada kawan-kawan dan memutuskan untuk dijual setelah mendapat permintaan yang agak memberangsangkan,” ceritanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Kepong, Jalan Serada, di sini.
Dalam masa sama, Rosmawati atau Ros yang juga pengasas kepada Pusat Penyusuan Ibu Terengganu memberitahu, JCJ yang kini menyediakan tiga jenis menu iaitu JCJ b cheese chocolate rice, JCJ b cheese dan JCJ c chocolate rice merupakan makanan sihat untuk menggalakkan penghasilan susu ibu.
Kata Ros, pada mulanya dia tidak menyangka resipi JCJ yang dicipta itu ada kaitan dengan galakan penghasilan susu ibu tetapi apabila direnungkan ia memang mempunyai kaitan dengan penghasilan berkenaan.
“Terdapat kajian menunjukkan buah berwarna oren atau kuning sesuai dijadikan makanan kepada ibu yang mahu menggalakkan penghasilan susu badan untuk bayi mereka.
“Secara tidak langsung JCJ yang dijual dengan harga RM5 berasaskan jagung dan berwarna kuning ini membantu ibu-ibu di luar sana menambah penghasilan susu badan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: