
ECU TuneBoss (kiri) boleh dikawal menerusi Bluetooth dan AppStore telefon pintar pengguna motosikal.
HANYA dengan menggunakan telefon pintar dan memuat turun daripada aplikasi Bluetooth dan AppStore, penunggang sudah boleh mengawal sistem pembakaran dalaman enjin motosikal mereka.
Teknologi unik dan terbaharu TuneBoss itu, boleh diperoleh dan dilakukan pada unit kawalan elektronik (ECU) motosikal jenis sistem suntikan bahan api selain yang berkapasiti 110 hingga 150 cc.
ECU TuneBoss keluaran FSR Technology Sdn Bhd ini jauh berbeza daripada ECU asal pengeluar motosikal yang tidak boleh diubah dan terdapat sekatan pada putaran enjinnya (RPM).
Pengarah FSR Technology, Farhan Mohamed Ali, menerusi kenyataan akhbar berkata, TuneBoss merupakan ECU boleh ubah dan boleh ditala semula apabila dimuat turun menerusi telefon bimbit perisian Android daripada kedua-dua aplikasi itu.
“Data atau peta pembakaran ECU TuneBoss boleh diubah menurut cita rasa dan keperluan pengguna motosikal hanya dengan memuat turun percuma ‘TuneBoss Manager’ daripada Bluetooth dan AppStore telefon pintar mereka.
“TuneBoss juga telah dilengkapi peta talaan yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api selain mengoptimumkan prestasi motosikal,” katanya.
Beliau berkata, produk buatan Malaysia ini dijual pada harga RM650 seunit manakala sasaran jualannya ialah 3,000 unit setahun.
“Pada peringkat awal ini, kami akan memberi tumpuan pasaran TuneBoss kepada motosikal yang mempunyai kapasiti 110 hingga 150cc dan menggunakan enjin jenis suntikan bahan api sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: