Angin sepoi-sepoi bukan sahaja memberi ketenangan kepada pengunjung malah kaki pancing.
SESUAI dengan namanya, Tasek Berombak kelihatan seperti air di pesisir pantai yang berombak ketika ditiup angin dan keadaannya yang berbeza dengan sungai serta tasik di kawasan lain menjadikan ia begitu indah untuk dilawati.
Justeru, kerana keadaannya yang sebegitu, maka generasi terdahulu menamakan kawasan ini sebagai tasik berombak. Malah, kedudukannya yang berdekatan dengan kawasan penempatan dan suasana agak galak ketika mendekati musim tengkujuh menjadikannya paling sesuai dijadikan lokasi sesi latihan operasi menyelamat di air.
Pernah dilawati menteri
Pemilik tanah, Azman Mustapha, 62, berkata, Rantau Panjang yang bersempadan dengan Thailand dan hanya dipisahkan oleh Sungai Golok, menjadikan kawasan ini sering dinaiki air ketika tengkujuh.
“Tasek Berombak pernah dilawati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika melancarkan Sukarelawan Bencana Banjir (Sukba) peringkat Parlimen dan pernah jadi destinasi terbaik untuk pasukan penyelamat menjalankan operasi menggunakan bot atau latihan menyelamat mangsa lemas,” katanya.
Bercerita lanjut, katanya, dia tidak pernah terlintas mahu menjadikan kawasan ini sebagai pusat riadah kerana sebahagian besar masyarakat di sini bergantung kepada bidang pertanian.
Menurutnya, tanah seluas satu hektar ini dahulunya dipenuhi pokok getah dan tanaman lain. Namun, atas nasihat keluarga dan ibu bapa, pokok getah yang sudah tua terpaksa ditebang.
Potensi jadi pusat pelancongan
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) banyak membantu menceriakan lagi kawasan ini dengan membersihkan kawasan tasik. Ketika tulah, saya dapati kawasan ini sangat cantik dan tenang, maka sangat rugi sekiranya ia dibiarkan,” katanya yang bertugas sebagai Pengerusi Perwakilan Penduduk, Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP) Zon Bendang Guchil.
Katanya, kawasan ini boleh menjadi tarikan baharu sekali gus menjadi pusat pelancongan baharu di daerah ini dan sesuai dijadikan tempat memancing, riadah juga perkelahan.
Katanya, Umno Rantau Panjang turut membantu dengan membina wakaf untuk kegunaan pengunjung di sini dan dia bercadang mahu membina rumah tumpangan untuk kegunaan pelancong luar negeri ketika mengadakan aktiviti di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Rantau Panjang, Ghazali Ismail berkata, pihaknya turut menyokong sebarang aktiviti riadah di jalankan di kawasan ini.
Bagi menceriakan lagi kawasan ini beliau berkata, Umno Rantau Panjang turut membantu membina wakaf dan membersihkan sekitar kawasan untuk kegunaan pengunjung.
Menurutnya, lokasinya berdekatan Kampung Gual Sitok dan Banggol Kulim malah jarak perjalanan kurang lima minit dari Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
“Saya percaya ia bakal menjadi destinasi popular kaki pancing, kerana airnya tidak tercemar dan ikan sungai banyak diperoleh di kawasan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: