Kawanan kera yang sering mengganggu ketenteraman penduduk hingga menimbulkan risiko keselamatan.
KUALA BERANG - Kehadiran sekumpulan kera berhampiran kawasan rumah di Kampung Buluh di sini sejak kira-kira dua minggu lalu, mengundang kebimbangan apatah lagi haiwan berkenaan turut merosakkan tanaman.
Haiwan itu turut menghampiri perkarangan rumah sekali gus penduduk terutama yang mempunyai anak kecil risau jika ia bertindak menceroboh dalam rumah bagi mendapatkan makanan.
Penduduk, Mahani Mohamad, 50, berkata, beberapa pokok pisang dan betiknya telah dirosakkan haiwan berkenaan dan bilangan kera begitu banyak dianggarkan mencecah lebih 20 ekor.
“Biasanya kera-kera ini datang waktu tengah hari hingga ke petang. Walaupun gayut atas pokok saja, saya risau sebab banyak sangat lagipun rumah saya dekat dengan belukar.
"Pernah sekali saya terkejut nampak ada kera datang ke beranda. Terpaksalah saya halau sebab tak mahu kera masuk rumah cari makanan. Lagipun rumah kampung tingkap memang terbuka sepanjang hari.
“Kumpulan kera ini sentiasa bergerak, tak duduk dekat satu tempat saja. Kalau sini sudah habis makanan, ia gerak ke tempat lain. Pasti lepas ini tanaman penduduk lain akan dirosakkan pula," katanya.
Jumlah kera makin banyak
Bagi Tuan Chik Busu, 71, dia mengakui bimbang ekoran kehadiran sekumpulan kera tersebut dan tanaman di kawasan rumahnya terutama betik serta pisang telah dirosakkan.
“Haiwan ini mungkin datang sementara saja nak cari makanan sebelum bergerak ke tempat lain. Tapi perkara ini tak akan selesai, pastinya penduduk lain pula akan hadapinya nanti.
“Mungkin buat masa ini, beberapa buah rumah sekitar ini saja, selepas ini orang lain pula. Tak mustahil, kera ini akan datang kembali ke sini lagi.
“Kera adalah haiwan dilindungi dan kita tak boleh ambil tindakan sesuka hati. Kita cuma boleh halaunya dari jauh, selepas beberapa ketika kera ini datang semula dapatkan pokok pisang atau betik sebagai makanan,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Noor Azura Mamat, 35, berkata, lebih kurang dua minggu kebelakangan ini, jumlah kera yang berkeliaran dianggarkan melebihi 40 ekor termasuk anak kera yang masih kecil.
“Akhir-akhir ini haiwan ini makin berani datang dekat dengan rumah untuk cari makanan. Saya sebagai ibu bimbang kalau kera-kera ini bertindak luar jangkaan apatah lagi saya ada anak kecil.
“Bagi elak kejadian tak diingini, saya tak benarkan anak-anak bermain di luar rumah selain pastikan tingkap terutamanya di dapur tertutup walaupun siang hari sebab pernah haiwan ini naik atas atap rumah,” katanya.
Perhilitan akan ambil tindakan
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Mohd Hasdi Husin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan turun padang melakukan tinjauan berhubung perkara itu, termasuk memasang perangkap jika berkeperluan.
“Laporan perlu dibuat di pejabat Perhilitan daerah terlebih dahulu dan kita akan jalankan siasatan. Jika didapati haiwan tersebut masa ada di lokasi dimaksudkan serta masih lagi berdekatan rumah penduduk kita akan ambil tindakan dengan memasang perangkap.
“Kita nasihatkan penduduk tidak ambil tindakan sendiri. Jika didapati haiwan ini terus musnahkan tanaman, kita akan akan adakan operasi membasmi musuh tanaman,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: