Taylor Swift
ANUGERAH Grammy ke-58 menyaksikan penyanyi berusia 27 tahun, Taylor Swift berjaya mencipta kemenangan besar apabila albumnya 1989 dinobatkan sebagai Album Terbaik.
Kemenangan itu sekali gus mengetepikan empat penyanyi terkenal lain iaitu Kendrick Lamar, Alabama Shakes, Chris Stapleton dan The Weeknd yang turut tercalon dalam kategori sama.
Lebih membanggakan, Taylor yang berjaya memberikan nyanyian mantap pada persembahan pembukaan anugerah berprestij itu turut menggondol dua kategori lain iaitu Vokal Album Pop Terbaik (1989) dan Muzik Video Terbaik menerusi lagu Bad Blood.
"Sebagai penyanyi wanita yang berjaya memenangi kategori ini dua kali, saya mahu mengatakan kepada semua wanita muda di luar sana bahawa pasti akan ada seseorang yang mengaku kejayaan yang kita capai adalah disebabkan mereka.
"Apa yang harus anda lakukan adalah ketepikan semua itu dan anda perlu lebih fokus terhadap apa yang ingin dicapai. Satu hari nanti, anda akan menyedari hanya diri sendiri serta mereka yang menyayangi anda yang akan meletakkan diri anda dengan kejayaan itu," ucap Taylor.
Selain Taylor, pasangan duo, Mark Ronson dan Bruno Mars turut mencipta kemenangan dalam kategori utama iaitu Rakaman Terbaik menerusi lagu Uptown Funk.
"Saya mahu berterima kasih kepada mereka yang terlibat dalam penerbitan lagu ini. Tak ketinggalan juga yang mengaspirasikan saya dengan muzik funk George Clinton, James Brown, Prince dan Earth Wind And Fire,” ucap Mark ringkas.
“Terima kasih kepada semua peminat dan trofi ini untuk anda semua!,” sambung Bruno.
Penyanyi rap Kendrick Lamar turut memenangi anugerah paling banyak menerusi kategori rap apabila single Alright, meraih dua anugerah iaitu, Persembahan Rap Terbaik dan Lagu Rap Terbaik.
Di samping itu, Kendrick turut diiktiraf melalui gabungannya bersama Taylor dalam Video Muzik Terbaik untuk lagu Bad Blood serta kolaborasi Rap Terbaik melalui lagu These Walls bersama Bilal, Anna Wise dan Thundercat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: