Thursday, February 18, 2016

'Saya rindu pakaian berkelip-kelip saya'




'Saya rindu pakaian berkelip-kelip saya'
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau (kanan) di Hospital Selayang, Kuala Lumpur hari ini.
RAJA Gelek Malaysia, Datuk M.Daud Kilau mengukir senyuman terharu dari kerusi rodanya ketika meninggalkan Hospital Selayang selepas sebulan dirawat kerana masalah prostat.
    
"Saya rindukan pakaian berkelip-kelip saya," kata penyanyi veteran berusia 77 tahun yang membayangkan keinginannya untuk terus membuat persembahan pentas semasa ditemui sekumpulan pemberita yang mengunjungi beliau di hospital.
   
Beliau menzahirkan rasa rindunya kepada peminat-peminatnya setelah agak lama tidak beraksi di pentas persembahan berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya kini.
    
M. Daud Kilau dibenarkan pulang tengah hari ini setelah menjalani rawatan sejak 15 Jan lalu. Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Teluk Intan akibat komplikasi membuang air kecil.
    
"Saya perlu menjalani pembedahan susulan masalah prostat yang kedua pada 2 Mac ini kerana masih mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan perlu bergantung dengan alat membuang air kecil.

"Walaupun kini saya hampir sembuh kira-kira 90 peratus tetapi saya masih perlu mendapat rawatan susulan di hospital ini (Hospital Selayang)," katanya.
    
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez turut hadir melawat M Daud Kilau bersama dua ahlinya yang lain bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: