Thursday, February 18, 2016

Kurang popular?: Risteena enggan mengalah



Risteena
Risteena
TEMPOH tiga tahun melibatkan diri sebagai anak seni sememangnya masih awal untuk segelintir daripada mereka dikenali atau menempuh era kegemilangan. Lebih-lebih lagi jika karya yang dibintangi kurang mendapat sambutan penonton.
Begitu juga bagi pelakon berusia 26 tahun ini, percaturannya sebagai pelakon dilihat agak hambar jika dibandingkan beberapa pendatang baharu dalam industri seni tempatan.
Zara Zya dan Janna Nick misalnya, hanya dengan beberapa karya, nama mereka mula meniti di bibir peminat seni.
Entah di mana silapnya, empunya nama Nur Risteena Munim Zainul Ilyas ini masih kurang dikenali dalam industri.
Tidak pernah sepi daripada dunia lakonan, akui pelakon yang lebih dikenali sebagai Risteena Munim ini, dia tidak mahu berputus asa walaupun namanya tidak sepopular aktres lain di negara ini.
Baginya, ia satu cabaran yang perlu dihadapi semua anak seni apabila memilih untuk melangkah ke bidang ini.
"Saya akui nama saya tidak sebesar atau sepopular pelakon lain walaupun sudah banyak membintangi drama mahupun telefilem.
"Mungkin lakonan saya tidak berjaya memuaskan penonton, tetapi saya ambil itu sebagai kayu pengukur untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini," katanya yang dikenali menerusi drama bersiri Playboy Itu Suami Aku.
Tambah pelakon kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini, selepas membintangi drama tersebut, banyak tawaran diterimanya.
"Sehingga kini saya terlibat dalam banyak drama, telefilem dan juga beberapa filem. Antaranya, Menjinak Ombak, Plan B dan Ala Bib, yang mana semuanya sebagai teraju utama.
"Manakala untuk filem pula, saya merupakan pelakon utama untuk Girlfriend Kontrak," katanya.
Bagaimanapun, dia cukup bersyukur kerana masih diberi kepercayaan pengarah dan penerbit sehingga kini.
"Mungkin nama saya agak kelam, tetapi dengan kemunculan saya menerusi pelbagai drama, telefilem mahu pun filem, akan membuka mata peminat seni mengenai kehadiran saya.
"Kerana itu, saya berharap 2016 lebih menyinari perjalanan karier saya," katanya yang sedang popular menerusi drama bersiri Cinta Teruna Kimchi.
Berkongsi pembabitannya dalam drama bersiri itu, jelas Risteena, dia amat seronok menjayakan watak Suraya kerana ia berbeza dengan mana-mana watak yang pernah dimainkan.
"Keistimewaan watak ini adalah kerana saya terpaksa berhadapan pelbagai konflik.
"Bahkan ia menuntut saya untuk lebih menjiwai watak itu kerana mainan emosi yang tidak menentu.
"Bagi saya, bukan mudah menjadi seorang wanita yang sosial serta anak yang kurang ajar tetapi insaf selepas kematian ayahnya. Ia benar-benar mencabar kemampuan saya," katanya.
Menerusi Cinta Teruna Kimchi, Risteena turut bergandingan dengan pelakon Nazim Othman.
Harap respons baik
Berbicara lanjut, akui pelakon filem Mamak Cupcake ini berharap inisiatifnya mempamerkan lakonan terbaik menerusi drama tersebut mendapat respons baik daripada penonton.
"Misi saya apabila muncul sebagai Suraya adalah untuk membuka mata penonton mengenai keupayaan saya sebagai seorang pelakon.
"Saya cuba membuat perubahan demi perubahan dalam memperbaiki mutu lakonan. Malah, saya juga sudah banyak memainkan pelbagai watak berbeza.
"Namun, menjadi Suraya amat berbeza, jadi saya sangat berharap penonton dapat melihat lakonan saya kali ini di satu tahap yang lebih tinggi," katanya.
Berkongsi cabaran sebagai pelakon drama bersiri itu, kata Risteena, agak kelam kabut apabila sesi penggambarannya bertembung dengan percutian bersama keluarga ke London.
"Pihak produksi terpaksa menghabiskan adegan saya terlebih dahulu. Bimbang juga menyusahkan mereka, tetapi saya sendiri tidak sangka ia boleh jadi begini," katanya.
Dalam pada itu, Risteena memasang impian untuk memastikan masa hadapannya lebih baik dalam bidang ini.
"Bukan selamanya kita diberikan watak utama, adakala kita di bawah juga. Saya sendiri bermula dengan watak ekstra, sekarang pula walaupun sering mendapat watak utama, saya masih belum sepopular pelakon lain.
"Bukan mudah menembusi pasaran seni ini, adakala ia bergantung kepada nasib juga," katanya.
Selain Cinta Teruna Kimchi, Risteena juga sedang sibuk menjalani penggambaran bagi drama bersiri Naluri Bercinta yang akan ditayangkan di slot Samarinda bermula April ini.
"Saya juga bakal muncul menerusi filem Anak Mami Nasi Kandaq yang akan ke layar perak hujung tahun ini," katanya yang merupakan kakak kepada pelakon Ruhainies.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: