Friday, January 1, 2016

Zombie La La La, cabar kemampuan Rohayah & Erma




Zombie La La La, cabar kemampuan Rohayah & Erma

MESKIPUN diberi masa tidak sampai dua bulan sebelum persembahan, dua penerbit teater terkenal, Siti Rohayah Attan dan Erma Fatima berjanji akan memberikan persembahan terbaik demi memartabatkan teater tanah air.
Mereka percaya hasil usaha keras keseluruhan produksi, teater Zombie La La La karya dan terbitan bersama mereka akan mampu membawa penonton ke Istana Budaya sebagaimana yang mereka lakukan dalam teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Mak Cun.
“Kami diberi amanah oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani untuk mementaskan sebuah teater pada 13 – 21 Februari tahun depan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan akibat penarikan diri oleh penerbit lain.
“Amanah ini diberikan kepada kami ketika persembahan teater Mak Cun pada November lalu dan dalam masa tiga minggu kami mengumpulkan seluruh tenaga produksi termasuk para pelakon,” kata Siti Rohayah ketika sidang media Zombie La La La di Istana Budaya Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelasnya, kepercayaan itu juga diberikan kerana kejayaan teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Mak Cun sentuhannya dan Erma baru-baru ini.
“Kami tidak akan sia-siakan peluang ini kerana bukan mudah untuk mendapatkan slot di IB.
“Saya yakin Zombie La La La juga bakal memberi impak besar menerusi pementasannya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Rohayah dan Erma sebenarnya telah lama diminta oleh pihak IB untuk bergabung dalam satu produksi teater.
“Ia bertujuan mewujudkan satu fenomena menonton teater di kalangan peminat seni teater.
“Dengan gabungan tersebut juga, mereka berharap sentuhan terhadap karya yang dipentaskan akan lebih mantap dan berkualiti,” kata Erma.
Selain cabaran masa, Siti Rohayah dan Erma berharap inisiatif mereka mementaskan karya ini mendapat penghargaan daripada peminat seni.
“Dalam masa yang singkat, kami juga harus memikirkan modal yang mesti dilaburkan bukan sedikit sedangkan pulangannya belum tahu.
“Namun, kami berusaha semampu yang boleh dan cuba untuk memohon penajaan dari pelbagai pihak bagi membantu kami merealisasikan teater berbentuk komedi ini,” tegas Erma.
Pertaruh muka baharu
Sementara itu, Erma berkata, gabungan syarikatnya, Rumah Karya Citra dan CTRA Production bersama Istana Budaya serta Persatuan Teater Malaysia (PTM) akan memberi ruang kepada bakat baru untuk sama-sama terlibat di dalam produksi tersebut.
“Apa yang saya lakukan bukan lagi untuk diri saya sebaliknya kepada dunia teater terutamanya di kalangan bakat-bakat baharu contohnya pelakon baharu yang teringin untuk beraksi di pentas teater.
“Ramai bakat baharu dalam dunia perfileman dan drama televisyen tetapi tidak semestinya mereka pelakon yang bagus selagi mereka tidak beraksi di pentas teater,” katanya.
Berkongsi mengenai pelakonnya teater itu pula, akui Erma, dia dan pihak penerbit tidak gentar mempertaruhkan muka baharu.
“Mungkin menerusi pementasan sebelum ini ada yang berjaya dan tidak.
“Tetapi itu bukan alasan kami menggunakan muka baharu ini. Jika tidak diberikan peluang kepada mereka, bagaimana mereka hendak mendapatkan pengalaman di pentas IB,” katanya.
Jelasnya, setiap pelakon dipilih pasti mempunyai kemampuan tersendiri.
“Saya mahu mereka ambil cabaran ini dan buktikan bahawa mereka mampu menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya.
Zombie La La La arahan bersama A. Aris kadir dan Erma Fatima mengisahkan tentang sekumpulan zombie antaranya dari Malaysia, Thailand, Amerika, Mesir dan Indonesia  datang ke Kuala Lumpur setelah mengetahui terdapat formula yang akan memulihkan rupa paras mereka.
Pelbagai peristiwa lucu dan sedih berlaku ketika mereka mencari lokasi formula tersebut termasuklah di KLCC, Muzium Negara, Dataran Merdeka dan Zoo Negara.
Turut sama membintangi teater itu, Zombie La La La juga diterajui pelakon terkenal seperti Amar Baharin, Amy Mastura, Janna Nick, Hafreez Adam, Datuk Rahim Razali, Lim Mei Fen dan ramai lagi. Tiket berharga RM37 hingga RM260 boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: