Sunday, January 3, 2016

E-Chair bantu warga emas




E-Chair bantu warga emas
E-Chair dicipta berinspirasikan pengalaman Noorhisham dan rakan-rakan yang bertanggungjawab menguruskan warga emas di Rumah Seri Kenangan, Kangar, Perlis.
SERING berdepan dengan masalah ketika menguruskan rutin harian warga emas di Rumah Seri Kenangan Kangar, Perlis memberikan inspirasi kepada sekumpulan pembantu rumah mencipta E-Chair.
Ketua Kumpulan Inovasi Rumah Seri Kenangan, Noorhisham Kawardin berkata, inovasi E-Chair dicipta kerana prihatin dengan sebahagian 30 warga emas menghadapi kesukaran duduk dengan selesa, baring dan sebagainya.
“Setiap kali saya dan rakan menguruskan warga emas kami kasihan dan bersimpati dengan mereka. Dalam keadaan kurang sihat, mereka tidak selesa kerana terpaksa duduk dalam tempoh lama.
“Antara rutin harian dilakukan ialah menggunting rambut, mencukur jambang dan misai serta pembersihan diri lain. Postur badan mereka juga tidak betul dan tidak boleh bergerak menyebabkan tidak selesa,” katanya.
Noorhisham berkata, kumpulan itu mahu E-Chair beri faedah dan manfaat kepada warga emas dianggap seperti ibu dan ayah sendiri.
Pada awal 2010 dengan berbekalkan sedikit pengalaman, Noorhisham dan rakan mula mencipta E-Chair menggunakan kerusi roda terpakai, kusyen lama dan beberapa barang lain bermodalkan RM260.
“Kami mengambil masa dua bulan untuk menginovasi kerusi roda menjadi E-Chair memberikan manfaat kepada warga emas. Kerja kimpalan dan pemasangan beberapa kelengkapan E-Chair dengan penuh teliti.
“Kerja ini dilakukan selepas waktu kerja, kadang kali cuti hujung minggu dihabiskan untuk menyiapkan E-Chair. Pelbagai pengalaman dilalui, namun tetap sabar demi memastikan ia dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.
Tambahnya, mereka mengambil masa enam bulan menyiapkan dua E-Chair dalam tempoh tersebut.
Namun hanya satu E-Chair sahaja boleh digunakan warga rumah kebajikan itu.
Diuji enam kali
Tidak mahu sebarang masalah berlaku di kemudian hari, pengujian terhadap kerusi itu dilakukan beberapa kali demi memastikan ia memenuhi kriteria keselamatan.
Noorhisham berkata, aspek keselamatan amat diutamakan supaya warga emas selesa dengan kerusi tersebut, maka ia diuji enam kali sebelum digunakan.
“Kami tidak mahu memberikan sebarang masalah kepada pengguna E-Chair.
Beberapa penambahbaikan dilakukan antaranya melibatkan alat kawalan yang digunakan, menambah beberapa barang sedia ada supaya penggunaan E-Chair selamat,” katanya.
Tambahnya, selepas beberapa bulan digunakan, Yayasan Inovasi Malaysia melihat inovasi yang dilakukan.
“YIM mencadangkan satu kerangka yang lebih ringan dan mereka juga menyerahkan model replika makmal. Mereka menggunakan alatan yang lebih sesuai, hasil kerja lebih halus daripada pereka grafik mahir,” katanya.
Gabung kerusi roda dan troli mandi
Noorhisham berkata, E-Chair menggabungkan fungsi sebuah kerusi roda dan troli mandi yang biasanya digunakan bagi menguruskan penghuni yang terlantar.
“Keistimewaannya ialah boleh dilaraskan ketinggian, boleh digunakan untuk memandikan penghuni terlantar, penghuni yang mempunyai kelemahan otot kaki tetapi mampu menguruskan diri sendiri.
“Ketinggian E-Chair boleh dilaraskan kepada 60 sentimeter dan ketinggian katil minimum 45 sentimeter serta boleh menampung berat sebanyak 100 kilogram. Ia memberikan kemudahan kepada warga emas untuk bergerak ke mana sahaja dan dibantu pembantu kebajikan masyarakat.
“Ia juga mempunyai aksesori yang berguna untuk kemudahan penghuni bagi menjalani kehidupan harian,” katanya.
Tambahnya, inovasi tersebut mendapat perlindungan MYIPO dan mendapat anugerah sebagai Naib Johan Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Negeri Perlis.
Pihak YIM menjejak inovasi ini pada Jejak Inovasi 2011. YIM membantu dari segi promosi dan memberikan peluang kepada pasukan menyertai pelbagai pameran.
Terima maklum balas positif
Noorhisham berkata, setakat ini, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengguna E-Chair terutamanya warga emas yang selesa dan mengakui tidak sakit badan.
“Bagi pembantu rumah kebajikan, ia memberikan kemudahan untuk menguruskan warga emas dengan lebih baik,” katanya.
Noorhisham dan rakan merancang untuk meluaskan pasaran penggunaan E-Chair kepada masyarakat kerana ia boleh dibawa ketika beriadah.
"Walaupun penggunaannya masih memerlukan pemantauan, kami sangat gembira dengan pencapaian inovasi ini.
“E-Chair direka dengan mengutamakan keselesaan penggunanya, ia dijual dalam pasaran dengan harga bermula RM1,800,” katanya.
Jika ingin menempah, mereka boleh menghubungi Penguasa Rumah Seri Kenangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: