Wednesday, May 7, 2014

Ketajaman tulisan seorang ulama




MENGUNGKAP nama penulis prolifik dari seberang ini membuatkan setiap penggemarnya terimbas kembali tulisan beberapa novel mengenai liku-liku dua hati yang dipaksa berpisah dek kerana menurut adat keluarga.
Ceritera kemelaratan cinta itu dirungkai penuh hemat dan kritis menerusi dua mahakarya Haji Abdul Malik Karim Amrullah iaitu Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck.
Sebilangan pengkritik berpendapat penulis menggunakan nama akronim Hamka itu sebagai pencetus kepada kritikan sosial yang menjadi tabu dalam masyarakat Indonesia ketika itu.
Pada masa sama, beliau berjaya membawa keluar umat Islam yang lena dalam tidur diselimuti kejumudan menjunjung tinggi adat sesuatu kaum. Biar mendapat kritikan pada awalnya, nama Hamka terus mekar mewangi sehingga dijadikan rujukan kepada ahli akademik dan dunia sastera di Nusantara.
"Masyarakat ketika itu memegang kuat adat-adat lama seperti berkahwin sesama suku dan perbezaan darjat," jelas Norziati Mohd. Rosman, 36, antara pembaca buku Hamka ketika ditemui Kosmo! di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Sebagai contoh, novel Di bawah Lindungan Kaabah yang diterbitkan pada tahun 1938 mengisahkan perpisahan terpaksa antara Zainab dan Hamid rentetan berbeza kelas sosial.
Begitu juga dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck yang turut mempersoalkan adat dan kepercayaan kaum Minang ketika itu.
Pendekatan
Dalam penulisan kreatif, Hamka mengambil pendekatan yang berlainan dalam menyelitkan unsur dakwah kerana lebih menekankan cara mengajak pembaca menuju ke arah kebaikan.
Tidak seperti kebanyakan tokoh-tokoh sastera dan agama Indonesia seperti Habiburrahman El Shirazy yang jelas menggunakan potongan hadis dan ayat al-Quran dalam karyanya.
"Saya ada membuat perbandingan antara buku kedua-kedua penulis tersebut. Tiada satu pun ayat al-Quran atau hadis digunakan oleh Hamka tetapi kita faham bahawa beliau mahu pembaca berfikir dan melihat implikasi mesej jalan cerita kepada kehidupan," ujar Norziati yang banyak terdedah kepada tulisan-tulisan ilmiah pada awal pengenalannya kepada tokoh tersebut.
Namun, mengenali Hamka secara keseluruhannya tidak terhad kepada dua novel itu yang telah difilemkan di Indonesia beberapa tahun ke belakang.
Bagi pengikut setianya, beliau merupakan seorang tokoh agamawan yang menggunakan medium penulisan sebagai salah satu cara menyebarkan dakwah dan pemikirannya mengenai hal-hal berkaitan agama, budaya, sejarah serta sosial.

KELUARGA besar Hamka diurus setia oleh isteri tercinta, Siti Raham Endah Sutan (empat dari kanan) yang mempunyai 10 orang anak semasa hayatnya.


Kelebihannya menjadikan Hamka seorang ulama yang berbeza dengan pemimpin sedia ada ketika itu yang memandang serong disebabkan pertelingkahan pendapat dan fahaman.
Tidak ramai ahli agama terlibat secara langsung dalam kelompok sastera kerana masyarakat beranggapan golongan tersebut hanya layak berbicara dalam topik yang terhad kepada portfolio mereka.
"Disebabkan itu, ia menjadi kekuatan kepada Hamka kerana beliau boleh berbicara mengenai pelbagai topik hasil kajian dan pembacaannya melalui buku-buku berbeza," ujar Muhammad Hafiz Ahmad Tajudin al-Fandani, 30, seorang pembaca karya-karya tokoh berasal dari Sumatera Barat, Indonesia itu.
Pengetahuan
Pengetahuannya banyak didorong menerusi pembacaan dan penyelidikan karya-karya Arab dan Barat termasuklah Arnold Toynbee, Karl Marx, Abbas al-Aqqad dan Mustafa al-Manfaluti. Beliau menelaah buku-buku tersebut yang telah ditransliterasikan ke bahasa Arab.
Seperti kata Hamka, "Ramai orang yang menyisir rambutnya tetapi tidak ramai yang menyisir otaknya" menunjukkan pentingnya mencari ilmu dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan kekuatan dalam diri.
Kesebatian Islam dalam diri Hamka dipupuk sedari kecil hasil asuhan keluarga yang berpegang teguh kepada didikan berlandas keagamaan. Bapanya, Abdul Karim Amrullah sendiri merupakan ulama terkenal di Indonesia.
Beliau pernah berkelana ke Mekah dalam usia muda bagi menajamkan penguasaan bahasa Arab. Sekembalinya ke tanah Indonesia, Hamka berbakti kepada masyarakat menggunakan ilmu yang ada sebagai pemidato, guru agama, malah menjadi seorang wartawan.
Walau tidak mendapat pendidikan yang tinggi, beliau menerbitkan sejumlah buku sastera dan ilmiah yang dikukuhkan dengan isi pemikiran setinggi seorang sarjana.
Ia boleh dilihat menerusi naskhah-naskhah seperti Merantau Ke Deli, Dari Perbendaharaan Lama, Falfasah Hidup, Lembaga Hikmat dan banyak lagi.
Sifat konsistennya kepada Islam terpancar apabila sanggup meletak jawatan sebagai sebagai Majelis Ulama Indonesia kerana kerajaan menolak fatwanya yang mengecam perayaan bersama bagi semua kaum.

RUMAH Hamka di Sumatera Barat dijadikan muzium yang menempatkan koleksi peninggalan barang-barang peribadi tokoh hebat itu.


Melihat kepada jalan riwayat hidup Hamka sehingga akhir hayatnya pada 18 Julai 1981, Muhammad Hafiz berpendapat wujud perubahan dalam cara penyampaian dan pemikiran menerusi karya-karya yang dihasilkan.
"Ia terbahagi kepada tiga fasa iaitu peringkat awal, pertengahan dan akhir yang setiap satunya dikesan mempunyai perbezaan yang ketara," jelasnya yang berasal dari Pendang, Kedah.
Dia menambah, fasa terakhir merupakan kemuncak kepada karier Hamka kerana ketika itu beliau sudah berada pada tahap yang matang.
Sekalipun sebelum ini beliau sebagai ahli gerakan Muhammadiah menerima tasawuf dengan sewajarnya, namun pada penghujung hayat, beliau sempat berbaiat tarekat dengan Abah Anom, seorang guru tarekat terkenal di Indonesia.
"Dalam satu karyanya, Hamka ada menyebut tentang kepentingan tarekat dan sumbangannya kepada tamadun Islam. Sebagai contoh, gerakan Sanusiyah di Libya ketika berperang dengan Perancis. Ia sebagai kredit dan penghargaan Hamka kepada gerakan tersebut," jelas Muhammad Hafiz.
Namun begitu, tambahnya, pembaca perlu melihat perubahan fasa tersebut secara keseluruhan bagi memahami perjuangan Hamka.
"Tidak adil untuk menilai karya-karya Hamka pada satu-satu fasa sahaja kerana ia perlu diperhatikan secara lengkap baru dapat kita merasai perubahan tersebut," ujarnya yang juga merupakan seorang penulis buku.
Kajian
Pengaruh Hamka melebar ke Malaysia sehinggakan beberapa karyanya dibincang dan dijadikan subjek kajian di institusi pengajian tempatan. Semasa hayatnya, Hamka sering dijemput untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan berkesempatan bertemu pemimpin negara.
"Ketika masih menjadi seorang wartawan, saya sempat bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memberitahu ketika berita kematian Hamka, seluruh rakyat Malaysia turut merasai kesedihan atas kehilangan besar itu," ujar anak kesembilan Hamka, Afif Hamka dalam satu pertemuan bersama produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang bakal dipentaskan mulai 9 hingga 18 Mei ini.
Menceritakan perwatakan arwah bapanya, Afif memberitahu, Hamka merupakan seorang yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah, beliau tidak sesekali cuba merosakkan pertalian itu yakni menerap semua ibadah dalam kehidupan seharian.

BAGI Norziati, Hamka menggunakan novel untuk mengkritik masyarakat yang terlalu taksub dengan adat dan budaya.


"Betapa ramai orang bersolat lima waktu tetapi hidupnya sentiasa tidak tenteram kerana peribadinya tidak mencerminkan kerukunan ibadah yang dilakukan," kias Afif.
Dia turut mengimbas betapa Hamka tidak pernah berdendam malah, sedia memaafkan orang yang pernah mengkhianatinya. Ia merujuk kepada peristiwa Hamka dikenakan hukuman tahanan dalam rumah oleh Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno pada tahun 1964 hingga 1966.
Hamka dipenjarakan berikutan tindakannya mengkritik Soekarno yang menjalankan konfrantasi Ganyang Malaysia pada tahun 1963.
"Bagaimanapun, ketika Soekarno meninggal dunia, Hamka dengan rela hati menjadi imam solat jenazah. Ketika ditanya, beliau menyatakan Soekarno tetap seorang sahabatnya," cerita Afif.
Ketika berada dalam tahanan itu, beliau menyiapkan naskhah terbesarnya, Tafsir Al-Azhar juzuk 1 hingga 30.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: