Saturday, May 24, 2014

Aeril Zafrel Tak Halang Isteri Bergandingan Dengan Lelaki Lain


wawa zainal
Aeril Zafrel benarkan Wawa Zainal untuk kembali aktif berlakon.
PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafril dia tidak pernah menghalang isterinya Wawa Zainal untuk berlakon dengan lelaki lain dalam sesebuah drama atau filem.
Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 26, berkata, wanita itu sudah dewasa dan pandai menjaga diri serta tahu batasannya sebagai seorang isteri.

"Kami akan bergandingan pertama kali selepas kontroversi melalui drama Cerita Cinta Kita yang akan ditayangkan bermula 28 Mei ini dan ia juga drama pertama Wawa selepas kembali semula berlakon.

"Saya tidak pernah halang dia untuk berlakon dengan lelaki lain atau letak apa-apa syarat kerana dia pun sudah besar asalkan tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap anak dan keluarga.

"Kalau dia terpaksa lakukan adegan yang agak janggal atau keterlaluan sekalipun saya tahu ia hanya teknik kamera sahaja dan biarlah orang nak cakap apa asalkan dia, saya dan Allah mengetahuinya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Aeril berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang mendakwa dia tidak membenarkan isterinya itu berlakon bersama lelaki lain sejak dia menguruskan kerjaya wanita itu sepenuhnya selepas keluar daripada pengurusan Metrowealth.

Dalam pada itu, Aeril mengakui selepas kontroversi perkahwinannya mereka lebih banyak menerima tawaran berlakon sebagai pasangan kekasih atau suami-isteri.

Bagaimanapun, sebagai pelakon dia perlu memilih tawaran yang benar-benar memberi kesan termasuklah kepada masyarakat yang menontonnya.

"Alhamdulillah rezeki yang datang tidak putus-putus terutamanya mereka mahukan pakej sekali iaitu kami berdua.

"Tetapi ada juga tawaran yang saya tolak.. Biasanya saya akan pilih cerita yang memberi kesan berguna kepada penonton," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang bergandingan bersama isteri, Aeril mengakui dia lebih selesa dan mudah untuk mencapai keserasian dalam drama tersebut.

"Sebelum ini kami memang banyak berlakon bersama cuma ketika itu belum jadi suami-isteri lagi. Sekarang perbezaannya ialah lebih senang kerana kami boleh pergi dan balik sama-sama," katanya.

Selain drama eksklusif TV3 iaitu Cerita Cinta Kita, mereka juga bakal bergandingan untuk drama Novel Fana terbitan Astro dan sebuah filem 354 Nafas yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Pada 11 Oktober 2013, pasangan ini mencetuskan kontroversi apabila mengaku telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 10 bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: