SALAM sejahtera duhai wanita yang dikasihi Allah SWT. Tarikh 16 Mei sentiasa mengetuk kenangan lalu.
"Mama, boleh saya belikan sebatang pen untuk cikgu?" permintaan anak yang membuat si ibu tersentak.
"Hadiah ulang tahun atau majlis perpisahan?" saya bertanya.
Lalu anak mengingatkan hari penting buat mereka iaitu Hari Guru yang menjadi sambutan di seluruh dunia.
Permintaan anak membuat saya terdiam. Terkenang masa lampau pada zaman persekolahan rendah. Bezanya kami tidak meminta-minta daripada emak atau abah untuk membeli hadiah.
Kami berusaha mengumpul duit belanja persekolahan berminggu-minggu lamanya. Adakalanya memakan masa berbulan-bulan.
Teruja. Apabila sampai masanya kami ke pekan kecil membeli sedozen pen mata bola walaupun nun jauh di hati teringin menghadiahkan pen berjenama Parker.
Lalu apabila tiba 16 Mei, kami hulurkan setiap batang pen kepada guru-guru tersayang.
Cemerlang
Masih terbayang wajah mereka girang menerima tanda mata yang tidak seberapa. Sungguh, biar kecil tetapi berbekas.
Namun, ada riak sayu di wajah guru apabila menghadap anak-anak yang tidak berkemampuan. Ada kenangan melekat di minda mendengar kata-kata Guru Besar di perhimpunan 16 Mei:
"Biar miskin di mata orang, namun jiwa biar kaya di sisi Allah. Setiap seorang daripada kamu harus bercita-cita menjadi juara. Seorang juara adalah pemimpin cemerlang bagi dirinya, keluarga dan masyarakat.
"Seorang juara tidak menunggu arahan tetapi sentiasa berbisik ke dalam diri untuk berjaya. Berusahalah untuk berjaya di dunia dan akhirat."
Saya terasa sesuatu di hati walau sukar menghadam sepenuh kenyataan tersebut.
Duhai wanita yang dimuliakan Allah, setiap daripada kita merupakan seorang guru. Bukankah Baginda SAW pernah bersabda melalui catatan Imam Muslim yang bermaksud:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Begitulah. Islam memberi pengiktirafan besar kepada kedua-dua ibu bapa sebagai pendidik utama yang mampu membawa anak-anak ke syurga. Lalu sambutan hari guru, hari ibu atau sebarang hari yang boleh dikaitkan dengan kemuliaan dan penghormatan tempiasnya kembali kepada ibu dan wanita yang dimuliakan Allah SWT.
Duhai wanita kekasih Allah, apabila diberi peluang menjadi guru kepada siswa-siswi di peringkat universiti, saya tidak menunggu Hari Guru untuk menyampaikan apa yang ada di dalam dada. Jika berpeluang, saya sampaikan walaupun sebaris ayat.
Hari Guru barangkali tidak disambut di peringkat universiti. Barangkali guru hanya untuk anak di peringkat persekolahan rendah. Barangkali juga ramai mereka yang sudah berjaya merangkul segulung ijazah terlupa bahawa mereka juga pernah berguru. Guru yang sudah dilupakan.
Wahai wanita yang mengangggap dirinya seorang guru, usahlah bersedih hati jika melihat bekas anak muridmu bersorak gembira melambung topi graduan namun tiada ucapan terima kasih dilafazkan.
Guru juara
Usah gusar apabila melihat siswa-siswi bimbinganmu bergelar Doktor namun melangkah pergi penuh gagah tanpa menoleh ke belakang. Tugasmu sudah selesai. Ilmu telah pun disampaikan. Usah mengharap diri dikenang.
Jadilah guru bergelar juara sebagaimana kita mengharapkan mereka begitu.
Namun, tersenyumlah sambil berdoa apabila melihat begitu ramai berjaya menjadi pembesar lagi terkenal. Berbangga sambil berdoalah apabila melihat bekas siswa-siswimu menjadi orang hebat lagi ternama.
Berdoalah agar mereka berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Barangkali ada saham tercatat pada hari penghakiman nanti.
Duhai wanita yang diredai Allah, berdoalah untuk kesemua guru-guru yang pernah memberi ilmu. Ibu bapa, guru di sekolah, adik-beradik, sanak saudara dan rakan sejawat. Barangkali juga penyapu di jalanan.
Ramai antara mereka mahu melihat kita menjadi insan sempurna, berguna dan mulia. Sungguh, antara yang ramai, guru-guru di sekolah tentunya berbangga dan mengalirkan air mata gembira melihat kejayaan bekas anak-anak murid.
Baru-baru ini saya pulang ke kampung halaman. Menyelusuri memori silam, mencari denai yang pernah diredah sekitar persekolahan rendah yang dahulunya separuh batu dan papan. Saya kembali mencari guru yang dikurniakan Allah kelebihan memberi sinar daripada kegelapan.
Subhanallah! Bangunan sekolah itu telah berubah wajah. Hampir kesemua guru-guru telah pergi menemui Illahi. Jika ada seorang dua yang tinggal, mereka bakal menghadapi hari-hari terakhir kehidupan.
Lalu, dengan penuh rasa rindu saya mendakap tubuh mereka. Ada getar yang tertinggal. Sambil membayangkan wajah mereka saya berkata: "Dahulu cikgu sungguh jelita."
Sambil mengesat lelehan air mata cikgu berkata: "Usah bayangkan wajah silam. Saya sudah tua beruban."
Perlahan saya menjawab: "Tidak. Cikgu masih cantik di mata saya."
Duhai zaman mudaku yang telah jauh ditinggalkan, ketika melangkah menuju ke kereta saya terpandang cermin sisi. Ada sesuatu yang menjentik rasa. Di situ terpantul satu wajah wanita berusia lewat 40-an. Dahulu, wanita itu seusia guruku. Kini, wanita itu adalah daku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: