|
JIKA dilihat pada perkembangan terkini industri muzik tempatan, kekerapan penyanyi merilis album tidaklah serancak dahulu.
Lebih-lebih lagi dengan kebanjiran bakat-bakat muda yang cuba menapak menempa nama, mereka lebih selesa mengeluarkan single sebelum berani menebak pasaran muzik dengan sebuah album penuh.
Berlainan pula dengan kisah sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Le Rumba. Walaupun hadir mempertaruhkan genre akustik, kumpulan yang dianggotai oleh Khairul, Nazreen, Ikhwan dan Bull ini berani mengangkat karya-karya yang dicipta menerusi album sulung mereka yang berjudul, Satu.
“Jika kita lihat keadaan industri muzik tempatan sekarang, penjualan album tidak semeriah seperti zaman 80-an dan 90-an.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa penyanyi yang berani mengeluarkan album walaupun masih baharu dalam industri.
“Sebagai contoh, pada awal kemunculan Yuna, album yang diterbitkannya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sejak itu, setiap album yang dikeluarkan terus mendapat tempat di hati peminat.
“Menggunakan formula yang sama, kami percaya karya-karya yang ada dalam Satu mampu diterima oleh peminat-peminat kami,” ujar Khairul atau nama sebenarnya Khairul Akmam Abd. Latif, 23, mewakili kumpulan yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
Akustik
Mempertaruhkan single pertama berjudul Hu Hu Satu, Khairul berkata, kumpulan yang telah enam tahun ditubuhkan itu mempunyai sebab kenapa mereka memilih genre akustik sebagai medium dalam menterjemahkan bakat nyanyian dan lagu-lagu ciptaan mereka.
“Semasa mula-mula bergerak bersama, kami sudah sepakat untuk memilih genre rumba. Genre yang berasal dari Latin ini agak asing di Malaysia tetapi sudah mula diberi perhatian pada peringkat antarabangsa.
“Nama kumpulan kami, Le Rumba juga diambil bersempena dengan nama genre yang kami bawakan itu,” ujar Khairul lagi.
Selain tampil dengan genre yang unik, Le Rumba turut mengetengahkan kebolehan menyanyi sambil bermain alat muzik oleh keempat-empat ahlinya.
“Kami berempat mempunyai peranan masing-masing dalam mengendalikan alat-alat muzik yang berbeza. Dalam pada itu, setiap ahli diberikan peluang untuk menyanyi dan mencipta lagu untuk album Satu,” ujarnya.
Melanjutkan perbualan mengenai album sulung mereka, Le Rumba lebih selesa menjualnya secara online menerusi laman Facebook rasmi kumpulan tersebut.
“Bagi yang berminat untuk mendapatkan album Satu, mereka boleh melayari page Le Rumba dan membuat tempahan dengan menghubungi nombor yang telah disediakan,” ujarnya lagi.
Popular di Rasta
Ketika bercerita tentang perjalanan Le Rumba dalam menempa nama sebagai salah satu kumpulan akustik di Malaysia, Khairul memberitahu, kehadiran mereka mula disedari sejak bergelar penyanyi residen di kedai makan Rasta, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
“Masih segar di ingatan, pada waktu itu kami berempat baru pulang daripada mengadakan persembahan dan singgah sebentar di Rasta untuk makan malam.
“Tuan punya tempat tersebut berasa hairan melihat kami mengenakan pakaian yang sama. Selepas memperkenalkan diri, dia terus menawarkan kontrak untuk menjadi artis residen di sana,” ujar Khairul sambil menyifatkan peluang tersebut sebagai platform untuk mereka lebih dikenali.
Walaupun sudah tidak menyanyi di sana, hubungan mereka dengan pemilik kedai makan tersebut masih akrab seperti dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: