Saturday, May 17, 2014

Cakra tunai nazar

CAKRA KHAN pernah menjadi penyanyi jalanan yang dibayar hanya sebanyak 80 sen untuk sesebuah lagu yang didendangkannya.


“INSYA-ALLAH, saya akan menghantar ibu, kakak dan suaminya ke Mekah untuk menunaikan umrah awal tahun hadapan” tutur tuan empunya nama, Cakra Konta Paryaman atau Cakra Khan sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, dia telah bernazar untuk menghantar ibunya ke Tanah Suci ketika namanya masih belum dikenali oleh khalayak umum lagi.
“Sebelum bergelar penyanyi, saya pernah memberitahu ibu saya bahawa saya akan menghantarnya menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah suatu hari nanti. Ketika itu, ibu saya hanya membalas dengan menguntumkan senyuman.
“Alhamdulillah, atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, niat saya akhirnya tercapai. Jika diberi kesempatan, saya akan menghantar ibu saya ke Mekah sekali untuk menunaikan fardu haji pada tahun yang berikutnya,” ujar anak jati Pangandaran, Indonesia itu.
Menangis
Pada petang itu, Cakra turut menghiburkan tetamu yang hadir dengan seleksi lagu-lagu yang terdapat dalam albumnya termasuklah sebuah lagu berbahasa Inggeris, A Song For Mama.
Ternyata sayu dibuai emosi, Cakra tidak dapat menahan perasaan sebak lalu mengalirkan air mata saat mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan R&B terkenal, Boyz II Men itu.
Ditanya apa yang membuatkannya menangis, Cakra berkata, dia berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membawa ibunya bersama ke Kuala Lumpur untuk meraikan hari bersejarahnya di sini.
“Ibu saya tidak dapat hadir bersama kerana mempunyai masalah dengan pasportnya. Ya, saya berasa sedih kerana dia tidak ada bersama ketika saya melancarkan album,” ujarnya.
Melanjutkan perbualan mengenai ibunya, wanita bernama Entik Trisuyatmi itu merupakan tulang belakang terhadap setiap perkembangan kariernya sebagai seorang penyanyi.
“Walaupun ibu saya berada di Indonesia, dia tidak pernah lupa mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendoakan agar segalanya berjalan dengan lancar,” ujarnya lagi.
FIGURA ini menegaskan, dia menjadi penyanyi kerana mahu menjadi dirinya sendiri.


YouTube
Perjalanan karier Cakra Khan sebagai seorang penyanyi tidak bermula dengan mudah. Jejaka ini pernah menyanyi di jalanan bersama rakan-rakannya dan diberi bayaran sebanyak 2 ribu rupiah (RM0.80) untuk sebuah lagu.
Namun, selepas memuat naik beberapa buah video di laman YouTube, nasibnya sebagai penyanyi berubah sama sekali.
“Ketika aktif menyanyi di kelab-kelab malam dan kafe, saya sering diminta untuk menyanyikan lagu-lagu tertentu oleh para pelancong yang melawat Indonesia.
“Tidak berkesempatan untuk berbuat demikian secara langsung, saya merakamkan lagu-lagu yang diminta dalam bentuk video dan memuat naik ke akaun YouTube. Sehinggakan, ada seorang peminat dari Amsterdam mengundang saya untuk menyanyi di sana.
“Menariknya, dia bukan warga Indonesia dan meminati lagu-lagu saduran saya menerusi rakaman video di YouTube,” ujar Cakra yang tidak berkesempatan memenuhi undangan tersebut kerana mahu menghormati bulan Ramadan ketika itu.
Bukan bersaing
Jika dilihat pada lambakan penyanyi lelaki yang mempertaruhkan vokal sebagai aset utama, nama Cakra dan penyanyi Afgan sering dibanding-bandingkan.
Ketika ditebak dengan isu perbandingan itu, Cakra memberitahu, kewujudannya sebagai seorang anak seni bukan untuk bersaing, tetapi lebih memperbaiki mutu dan kualiti industri muzik di negara-negara nusantara.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menjadi diri sendiri. Saya tidak takut pada persaingan kerana tujuan asal saya menyanyi adalah untuk menyalurkan minat saya pada orang ramai,” katanya yang cukup berbangga dengan kelahiran album sulungnya itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: