Saturday, May 17, 2014

Lagu Ditolak Stesen Radio, Aishah (AF7) Tukar Nama


Ecah kecewa lagu ciptaan tidak diterima stesen radio.
PETALING JAYA: Penyanyi Aishah (AF7) benar-benar kecewa apabila percubaannya menghasilkan lagu tidak mendapat sokongan orang atasan sebuah stesen radio sebaliknya karya dia dianggap tidak ikut trend semasa.
Aishah atau nama sebenar Siti Aishah Bujang, 22, berkata, lagu berjudul Indah genre kontemporari jaz itu dikatakan sudah lapuk dan tidak lagi sesuai untuk pendengar stesen berkenaan.

"Saya rasa sangat sedih dan kecewa apabila lagu pertama ciptaan saya mendapat komen negatif daripada orang atasan sebuah stesen radio.

"Saya cuba minta dia dengar dahulu karya saya itu dan katanya muzik tersebut tidak sesuai untuk dimainkan kerana tidak mengikut trend masa kini," katanya kepada mStar Online.

Aishah berkata, disebabkan perkara tersebut juga dia mengakui putus asa dan enggan meneruskan usahanya mempromosikan lagu tersebut biarpun sudah siap sepenuhnya.

Malah dia turut mengakui agak sukar baginya mengatur strategi untuk bersaing dalam industri hiburan tempatan kerana dia tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman.

"Saya memang berniat nak hantar karya saya ke stesen-stesen radio tetapi agak susah kerana saya tiada syarikat rakaman untuk menguruskan hal itu," katanya.

Dalam pada itu Aishah berkata, dia kini mahu dikenali sebagai Ecah sebagai nama kormersial.

Sudah sampai masanya untuk dia berdiri menggunakan nama sendiri tanpa dibayangi dengan program realiti Akademi Fantasia.

"Ramai penyanyi bernama Aishah sebab itu saya nak orang kenal saya dengan nama Ecah. Lagi pula orang disekeliling memang memanggil saya dengan nama itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, dia kini muncul sebagai penyanyi undangan untuk single terbaharu Cat Farish bersama Tiga Swaegger dan Zizan Razak berjudul Ops! Aku Dah ter....

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: