Saturday, May 17, 2014

Siti bakal keluar produk lelaki


SITI Nurhaliza kini hangat dengan lagu terbaharunya, Jaga Dia Untukku.


FIGURA yang cukup disayangi ramai, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 34, tidak lekas berpuas hati dengan apa yang dimilikinya sekarang.
Malah, satu persatu perancangan disusun rapi di kotak fikiran dan bakal terlaksana buat bekalan masa depannya sendiri.
Pengalaman selama 15 tahun dalam bidang seni membawa Siti ke fasa baharu apabila mempunyai produk kecantikan sendiri. Selama empat tahun menguruskan produk kecantikan wanita, kini, pelantun lagu Jaga Dia Untukku berhasrat pula untuk mengeluarkan produk untuk kaum lelaki.
"Memang ada cadangan buat produk untuk lelaki. Tetapi, perlu satu persatu. Mungkin pada masa akan datang," ungkap Siti ketika ditemui baru-baru ini.
Beralih bicara tentang kerjaya nyanyian pula, penyanyi berbintang Capricorn itu bakal melahirkan sebuah album solo sebelum bulan Ramadan ini.
Bagaimanapun, penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu masih menunggu sebuah lagi lagu untuk disiapkan. Lagu gandingannya bersama penyanyi seberang, Cakra Khan bakal melengkapi album solonya yang mengandungi sebanyak 10 buah lagu itu.
Selain lagu bersama Cakra, album solo Siti itu juga mengandungi tiga lagu terdiri daripada Lebih Indah, Terbaik Bagimu dan Jaga Dia Untukku.
"Insya-Allah, album solo saya akan dipasarkan sebelum Ramadan nanti. Buat masa ini tinggal satu sahaja lagu bersama Cakra Khan untuk disiapkan," ujar Siti yang akan ke Indonesia merakamkan lagu di sana sekali gus menyiapkan klip video bersama Cakra di negara itu.
Datuk K
Siti juga mengakui bersyukur kerana lagu Jaga Dia Untuk Ku yang dicipta khas buat suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang kini menduduki tangga satu di iTunes pada minggu lalu.
Lagu itu dicipta oleh Aubrey Suwito dan lirik oleh Rozi Sangdewi.
Lirik lagu itu telah dicipta semasa Siti dalam keresahan dan kesedihan menuju ke New Zealand untuk berjumpa dengan suaminya yang ditimpa kemalangan suatu ketika duhulu.
"Alhamdulillah penjualan lagu Jaga Dia Untukku di iTunes berada di nombor satu. Lagu itu kisah benar yang berlaku kepada saya. Ia memberi saya satu kepuasan apabila peminat turut merasai apa yang saya rasa," luahnya sambil melantunkan senyuman manis.
Terlanjur berbicara tentang perasaannya terhadap Datuk K, Siti memberitahu, keadaan suaminya yang sudah pulih sebanyak 80 peratus.
Katanya, kini hanya tinggal bekas parut. Selain itu, suaminya juga cepat berasa penat dan lenguh akibat kemalangan yang berlaku sekitar bulan Disember 2012.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: