Sunday, May 25, 2014

Khadijah Ibrahim Rai Kaum Ibu Sempena Hari Ibu


Khadijah dan Ramli berduet lagu hit mereka Doa Buat Kekasih. 
KUALA LUMPUR: Seramai 100 orang kaum ibu diraikan bersempena majlis Raikan Hari Ibu Bersama Datuk Khadijah Ibrahim yang diadakan di restoran Khadijah's Kitchen dekat sini pada Sabtu.

Penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, beliau sangat berbesar hati dapat meraikan golongan wanita yang bergelar ibu pada majlis berkenaan sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
"Bukan semua orang masih bertuah mempunyai ibu dan peluang ini saya ambil untuk meraikan mereka dalam sebuah majlis istimewa supaya mereka rasa dihargai dan disayangi.

"Saya cukup gembira apabila ruang Khadijah's Kitchen pada hari ini meriah dengan kehadiran mereka selain dapat menggembirakan mereka dengan makanan tengah hari dan persembahan istimewa daripada saya dan artis undangan," katanya.

Khadijah bergandingan dengan anak-anaknya pada persembahan petang itu.

Turut memeriahkan acara tersebut adalah Datuk Ramli Sarip, Imuda, Hasnol dan Hadee.
Dalam pada itu, Khadijah berkata, majlis itu bertambah istimewa apabila ia turut disertai oleh anak-anak daripada Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang daripada Rawang Selangor.

Malah kata Khadijah, sebahagian daripada kutipan majlis Raikan Hari Ibu Bersama Datuk Khadijah Ibrahim akan disumbangkan kepada pertubuhan tersebut sebagai salah satu kerja amal pihaknya dan Khadijah's Kitchen.

"Majlis ini bukan sahaja tentang meraikan golongan ibu tetapi juga anak-anak yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai ibu dan bapa. Kami bawa mereka pada acara ini kerana ingin mereka tahu ramai yang ambil berat dan sayangkan mereka.
Peminat dan tetamu memenuhi segenap ruang Khadijah's Kitchen.

"Alhamdulillah, sebahagian kutipan daripada jualan tiket untuk majlis tersebut akan disumbangkan kepada pertubuhan berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peminat yang hadir pada petang itu sanggup membida sebanyak RM5,000 untuk melihat Khadijah dan Ramli mendendangkan lagu duet mereka berjudul Doa Buat Kekasih.

Jelas Khadijah, dia sangat terharu dengan kesudian peminatnya itu membelanjakan wang berkenaan untuk melihatnya dan Ramli menyanyikan lagu tersebut dan memberitahu wang berkenaan akan diserahkan kepada Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang.

"Inilah istimewanya majlis sebegini kerana sambil kita dapat berhibur dapat juga sumbangkan sesuatu kepada pihak memerlukan dan saya sangat menghargai jasa peminat yang datang dan sudi melakukan kerja amal seperti itu," jelasnya.
Kemunculan Ramli Sarip mendapat tepukan gemuruh terutama semasa beliau mendendangkan lagu Kamelia.

Dalam perkembangan sama, Khadijah mendapat sorakan peminat dan tetamu yang hadir apabila beliau dan anak-anaknya yang bertindak sebagai penyanyi latar mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuk Ku Pendam Sebuah Luka.

Malah penyanyi bersuara emas itu turut menyampaikan lagu Getaran Jiwa versi baharu selain lagu seperti Mencintaimu dan You've Got A Friend nyanyian asal Carole King.

Pada acara tersebut penyanyi popular 90-an, Hasnol turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuk lagu hitnya, Laguku Untukmu pada acara tersebut.

Kemunculan Papa Rock dipentas untuk set solonya mendapat sorakan gemuruh apabila penyanyi itu menyampaikan lagu popularnya, Kamelia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: