|
MENERUSI sepotong video berdurasi 15 saat yang dimuatkan pelakon yang terkenal dengan drama Nur Kasih, Tiz Zaqyah dua minggu lalu, pelbagai perdebatan timbul selepas pelakon itu mewarnakan rambutnya dengan warna merah.
Video yang dimuatkan dalam laman sosial Instagram miliknya (@tizzaqyah) itu memaparkan Tiz berada di salon rambut dan sedang melalui proses menukar warna rambutnya daripada warna hitam menjadi merah.
Tiz antara lainnya membalas beberapa komentar yang berbaur kasar untuk membela dirinya sehingga kisah mewarna rambut itu berlarutan dalam beberapa foto yang dimuat naik selepas itu.
Bertemu pada majlis pelancaran drama 60 episod, Kusinero Cinta di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, pihak media mendapatkan komen lanjut daripada pelakon itu. Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Tiz kelihatan lantang menegakkan hak peribadi di laman Instagram dan ada juga beberapa peminat anda bersifat cuba menggalakkan perdebatan. Apakah komen anda?
TIZ ZAQYAH: Saya komen ikut mood saya dan kalau ada antara komen yang ditulis di laman sosial saya yang terlalu melampau, saya akan balas dan mungkin menyekat akaun itu daripada terus akses ke akaun saya.
Bagaimanapun, saya rasa situasi provokasi itu pun rasanya tidak seteruk artis antarabangsa lain alami tapi mereka boleh profesional dan enggan ambil peduli.
Adakah sikap tidak ambil peduli yang sedang anda lakukan sekarang?
Ya, mana-mana yang patut dan perlu saya balas saya akan buat tapi kalau merepek sangat saya abaikan sahaja.
Berhubung isu mewarnakan rambut daripada hitam ke merah, apakah penjelasan anda?
Saya mewarnakan rambut menjadi merah kerana tuntutan watak. Sepatutnya selepas tamat penggambaran drama Kusinero Cinta baru-baru ini saya akan berlakon dalam sebuah drama lain yang memerlukan saya menjadi gadis ganas. Jadi, saya berpendapat apa salahnya menukar penampilan saya untuk nampak berbeza kali ini.
Jadi, bilakah drama itu akan memulakan penggambaran?
Malangnya jadual saya bertindan dan saya tidak dapat meneruskan penggambaran itu. Saya tidak kisah dan saya gembira dengan penampilan terkini saya. Malah, buat masa sekarang saya akan kekal dengan warna rambut ini.
Apabila timbul pelbagai cerita kurang enak atau komentar berbaur negatif, apakah reaksi kekasih anda, Daniel Haziq?
Dia tidak kisah dan okey saja. Kami faham antara satu sama lain dan itu rasanya pokok utama dalam setiap perhubungan. Malah, dia pun ada akaun Instagram sendiri yang dipenuhi komen negatif yang juga tidak kurang hebatnya.
Terlanjur berbicara mengenai kisah cinta, bagaimanakah hubungan kalian berdua sekarang?
Hubungan kami baik-baik saja dan tiada masalah. Untuk ke peringkat seterusnya belum ada sebarang perancangan tapi seandainya ada nanti saya akan maklumkan. Yang pasti bukan tahun ini. Sudah pasti naluri manusia, tiada siapa yang tidak mahu berkahwin bukan?
Mengulas mengenai privasi, adakah kini anda selesa berkongsi cerita dan momen bersama kekasih melalui laman sosial contohnya Instagram?
Saya menjadi diri sendiri dan Instagram saya adalah terhad untuk kawan-kawan dan peminat saya. Saya selesa sebab tiada apa lagi yang perlu disembunyikan dan tidak lagi membebankan. Jujur saya katakan sekarang hidup saya lebih tenang dan senang!
Anda kini lebih terbuka dan personaliti juga berbeza berbanding sebelum ini yang lebih banyak berselindung. Apakah yang mengubah pendirian anda?
Pengalaman yang banyak mengajar saya dari segi penerimaan saya terhadap persepsi orang ramai. Dahulu saya cenderung untuk terlalu memikirkan pandangan orang ramai sehingga diri saya tidak selesa. Saya manusia normal dan masyarakat tidak boleh menjangkakan saya menjadi contoh untuk semua.
Sudi kongsikan sedikit sebanyak peranan anda dalam drama Kusinero Cinta?
Saya melakonkan watak seorang gadis bernama Edrinna Mahadzir yang melawat Manila, Filipina atas tujuan perniagaan.
Bagaimanapun, Edrinna bertemu dengan Freddo yang berhasrat menjadi tukang masak. Pada masa sama Edrinna sedang bercinta dengan Syed Izmir yang taksub menjadi cef terbaik hingga berlaku beberapa insiden.
Watak ini tidak berat dan berbeza daripada watak sebelum ini kerana naskhah ini sangat santai.
Kusinero Cinta bakal ditayangkan di Mustika HD (saluran 134 Astro) pukul 10 malam bermula 26 Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: