|
MENGATUR temu janji seminggu sebelum pertemuan, wanita ini menaip perkataan Alhamdulillah pada khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaik kami bersetuju tentang tarikh yang sesuai untuk bertemu.
Jujur, saya sedikit kaget mahu membalas semula tulisan tersebut.
Seperti kata empunya diri, Felixia Yeap: "Sebab orang pun tak pasti sama ada boleh menggunakan saya lebih daripada sepatutnya. Sebab saya belum memeluk Islam."
Pernyataan itu merujuk juga kepada perkembangan kariernya dalam dunia lakonan.
Selepas pertama kali muncul dalam drama rantaian Nikah Kita Bercinta bersama Azlee Khairi awal tahun ini, Felixia memanjangkan langkahnya sebagai pelakon.
Kali ini dia terbabit dengan drama rantaian Sarafina. Membawa watak Bella, rakan baik kepada pelakon utamanya, Sari Yanti, kata Felixia, dia menerima tawaran mengikut kesesuaian imejnya pada masa kini.
Sementelah, dia sendiri sedar diri dan faham, kekangan yang barangkali dilalui oleh pihak penerbit untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon adalah bersangkut dengan pegangan hidupnya.
"Macam saya cakap tadi, walaupun saya menutup aurat, saya belum memeluk Islam. Justeru, ia barangkali menjadi kekangan untuk mereka memberi watak yang bersesuaian dan tidak melanggar sensitiviti banyak pihak apabila mengambil saya berlakon, dan saya faham mengenai dilema itu," ujarnya rasional.
Dia kemudian menambah sambil ketawa: "Masalah saya satu lagi ialah saya pelat berbahasa Melayu. Jadi mungkin sukar ada watak untuk wanita pelat jika kalau bukan ia misalnya tentang seseorang yang mahu berhijrah agama."
Malah, sebagai pendatang baharu yang tidak punya asas lakonan langsung, dia mengaku perlu bertatih untuk menjadi seorang pelakon yang tidak banyak menyusahkan produksi.
Jelasnya, peluang perdana yang terbuka untuknya dalam Nikah Kita Bercinta digunakan sebaik mungkin. Bakat diasah dengan banyak memerhati dan bertanya daripada orang berpengalaman, selebihnya, dia berusaha untuk memberi yang terbaik berbekal pengalaman sebagai seorang model.
"Saya kira, hal yang sukar untuk berlakon ialah menghafal skrip dan memberi ekspresi spontan. Saya amat berterima kasih kepada seluruh produksi yang cukup sabar dan boleh menerima kekurangan saya sepanjang berlakon," katanya merendah diri.
|
Tiada agama
Ironi, bercakap tentang wanita berusia 27 tahun ini, namanya meledak bagai terkena jerangkap samar selepas dia memilih untuk berhijab. Ya, seorang wanita Cina yang tidak mempunyai agama memakai hijab.
Boleh dikatakan, sepanjang 10 tahun menjadi model, dua tahun kebelakangan ini, nama Felixia menjadi sebutan kerana satu keputusan yang paling penting dalam hidupnya.
Keputusan seorang model yang sebelum ini dilihat begitu berani dengan beberapa ekspresi ghairah termasuk untuk majalah khas lelaki, Playboy, berhijab dan mahu memeluk Islam membikin banyak penasaran.
"Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab?
"Saya kira ia soal kebebasan kita sebagai seorang individu untuk memilih jalan hidup kita, dan saya pilih jalan hidup seperti ini sekarang. Saya pilih berhijab dan mahu bulat hati memeluk Islam," katanya tegas.
Wanita yang lahir di Kuala Lumpur, namun menghabiskan masa remajanya dengan bersekolah di Ipoh, Perak ini kemudian melanjutkan cerita.
Tanpa berahsia, dia memberitahu sejak kecil tidak pernah mempunyai pegangan agama. Dia tidak percaya Tuhan dan tidak tahu di mana Tuhan atau agama yang layak dijadikan pegangan hidup.
Sehingga tahun lalu, pada saat pertama kali dia menggayakan hijab untuk sebuah iklan komersial, ada satu rasa yang ajaib duduk di dalam hatinya.
"Saya seorang Cina tapi saya free thinker yang tak punya pegangan agama sejak kecil," katanya tanpa selindung.
Felixia lantas memanjangkan bicara: "Kemudian, saya hadir untuk satu uji bakat iklan komersial Celcom. Saya gagal untuk mendapatkan peluang itu.
"Namun, kerana iklan tersebutlah ia telah merubah hidup saya. Pada iklan itu, saya harus berhijab dan saya fikir mengapa perlu saya tolak?
"Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa."
Sejak pertama kali menggayakan tudung tersebut, dia mabuk kepayang untuk berhijab, sekali gus menutup aurat. Perlahan-lahan dia keluar rumah memakai hijab dan mula memahami konsep bahawa hijab bukan satu bebanan untuk seorang wanita Islam, sebaliknya ia adalah satu suruhan yang memberi seribu satu manfaat kepada yang menurut perintahNya.
Kini, selepas lima bulan memakai hijab, Felixia langsung tidak kekok dengan imej 'tertutupnya'.
"Saya merasakan suatu ketenangan yang luar biasa. Ia melengkapkan pencarian saya terhadap satu kepercayaan iaitu mencari agama yang memberi ketenangan jiwa dan saya perolehnya dengan hanya sehelai kain nipis yang menutup kepala!" ujarnya penuh takjub.
Islam
Sedar timbul banyak pertikaian tentang pendiriannya memakai hijab, Felixia mengatakan, dia tidak perlu mati dengan kecaman orang.
Sebagai seorang individu yang telah melalui banyak jalur hidup yang tidak sedikit sukarnya, Felixia tahu keperluan yang paling baik di dalam hidupnya.
Ditanya selepas berhijab, apa yang disusun mahu mindanya, pantas dia memberitahu mahu punya pegangan agama dan tentulah ia agama Islam. Agama paling mulia di dunia.
"Selepas memakai hijab, saya belajar serba sedikit tentang Islam dan saya mula jatuh hati dengan kesederhanaan agama yang memberi ketenangan kepada saya kini.
"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai agama, apa lagi Islam. Sebab itu, saya mahu segera memeluk Islam. Sengaja saya pilih bulan Ramadan yang jatuh pada Julai ini sebagai bulan untuk saya mengucap dua kalimah syahadah.
"Pertama, selain mahu mengambil keberkatan bulan mulia ini, Julai ini juga merupakan bulan kelahiran saya. Justeru, saya melihat ia sebagai fasa hidup yang lengkap untuk saya 'lahir semula' dalam kehidupan baharu," katanya penuh bahagia.
Namun, cerita mahu memeluk Islam tidak terjadi begitu sahaja. Ternyata ada cerita di sebalik terpanggilnya Felixia untuk menjadi seorang Mukmin.
"Suatu malam, selepas beberapa bulan memakai hijab saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya melihat sepotong nama daripada cahaya yang cukup bersinar-sinar.
"Peliknya, sebagai seorang yang jarang mengingati mimpi, saya bangun tidur dan boleh merakam semula momen mimpi saya.
"Paling ketara ialah tentang nama yang tertulis di dada langit dengan cahaya bersinar-sinar itu buat saya. Apabila saya mencari maksudnya, ia cukup indah," ceritanya bersungguh-sungguh.
Ditebak adakah itu nama yang bakal digunakan sebaik dia memeluk Islam, pantas dalam senyum yang begitu manis Felixia mengangguk.
"Ya, itulah nama Islam saya sebaik saya mengucap dua kalimah syahadah pada Julai ini. Saya percaya semua ini aturan olehNya yang terbaik buat saya. Saya amat bersyukur," ujarnya.
Ustaz
Perubahan imejnya sekali gus membuat semua hal yang berada di sekelilingnya berubah.
Kerjayanya sebagai model memperlihatkan dirinya lebih banyak memperaga busana Muslimah, berbanding memperaga tubuh seperti dahulu.
Pada masa yang sama, rezekinya dalam bidang seni bercambah apabila dilamar menjadi pelakon.
Paling ketara, akuinya, banyak lelaki yang mendekat terdiri daripada lelaki Melayu yang tertarik dengannya termasuk dalam kalangan ustaz.
Katanya panjang lebar: "Berbanding dahulu, lelaki yang mendekati saya pada kali ini mengajak saya berkahwin, bukan sekadar mahu memuaskan nafsu.
"Ada juga ustaz yang berminat terhadap saya.
"Prinsip saya mudah. Seperti mana saya memakai hijab bukan kerana seorang lelaki, saya juga tidak mahu memeluk Islam kerana mahu dinikahi seorang lelaki Islam. Sebaliknya, saya lakukan semua perkara atas kerelaan sendiri.
"Jika tiba waktu saya berkahwin kelak, saya berdoa agar iman suami saya lebih tebal daripada saya untuk membimbing saya sebagai seorang isteri dan Muslimah yang baik.
"Saya tidak mahu Allah membalikkan hati saya semula dengan tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama. Justeru, saya memerlukan seorang lelaki yang benar-benar beriman kerana Allah SWT."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: