Tuesday, May 13, 2014

Erin Malek Temui Cinta Baharu Menerusi Instagram


Erin mengakui dia kini sedang berada dalam fasa bahagia kerana sudah bertemu dengan lelaki idamannya.
KUALA LUMPUR: Juara program Fear Factor Malaysia musim kedua, Erin Malek mengakui dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai 'F' sejak empat bulan lalu selepas bertemu di laman sosial Instagram.

Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, berkata, dia tidak menyangka bertemu dengan lelaki tersebut menerusi laman sosial itu selepas setahun dia memutuskan hubungan dengan bekas kekasihnya.

"Permulaan kami agak lucu apabila kami bertemu di Instagram selepas saya secara tidak sengaja melihat profilnya dan dari situ kami mula berkenalan menerusi internet.

"Bagaimanapun kesibukan kami dengan kerjaya masing-masing membuatkan hasrat untuk berjumpa sering tergendala sehinggalah pada suatu hari kami bersetuju untuk bertemu dan segala-galanya bermula pada saat itu," jelasnya kepada mStar Online.

Erin ditemui ketika menghadiri majlis tayangan episod kemuncak Fear Factor Malaysia (FFM2) musim kedua yang diadakan di Restoran Picknik di Publika di sini pada Ahad.

Pelakon itu muncul sebagai juara FFM2 bersama pasangannya Redha sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.
Erin dan Redha berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 selepas bergelar juara program Fear Factor Malaysia musim kedua.

Dalam pada itu, Erin berkata, biarpun jarak usia mereka berbeza sebanyak 10 tahun namun dia selesa berkawan dengan lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai seorang yang matang, romantik dan penyayang.

Malah Erin turut menyifatkan 'F' sebagai cinta hatinya dan memberitahu sudah bersedia untuk menamatkan zaman solonya dengan lelaki itu biarpun masih muda.

"Saya tertarik dengan kematangannya sebagai seorang lelaki dan paling penting dia tidak menghakimi tentang apa juga gosip dan cerita kurang enak mengenai saya sebelum ini.

"Pada tahap ini saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan soal umur bukan satu masalah kerana paling penting kita bertemu dengan orang yang tepat dan sesuai.

"Berdasarkan pengalaman lalu saya sudah malas untuk bercinta lama-lama kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana dan 'F' adalah cinta hati yang melengkapi diri saya sebagai seorang wanita," tuturnya.

Pun begitu kata Erin, itu bukan bererti dia akan berkahwin dalam masa terdekat sebaliknya sebagai seorang dewasa dia realistik dengan keadaan dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.

Bagaimanapun dia tidak menafikan ada berbincang tentang soal perkahwinan dengan teman lelakinya sebelum ini dan berharap peminat mendoakan kebahagian mereka berdua.

Dalam perkembangan lain, Erin berkata, selain bakal muncul dengan musim terbaharu drama bersiri Misiku Kuza bersama Arja Lee dan Hairul Azreen, dia juga akan terlibat dengan beberapa buah telefilem dan drama bersiri sehingga penghujung tahun ini.

"Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan semakin murah tambah-tambah lagi selepas kejayaan Misiku Kuza dan program Fear Factor Malaysia," jelasnya. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: