DALAM usaha mengangkat martabat industri hiburan tanah air ke peringkat yang lebih tinggi, sebuah program rancangan hiburan, Hlive! yang merangkumi pelbagai isu komprehensif mengenai berita hiburan tanah air dan antarabangsa telah dilancarkan di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menggunakan platform Tonton, Dengar dan Baca, program yang merangkumi pelbagai medium termasuk penyiaran, penerbitan digital dan portal ini memberikan liputan eksklusif mengenai dunia hiburan tanah air.
“Sebanyak 60 peratus pengisian Hlive! akan diisi dengan berita mengenai artis hiburan lokal manakala selebihnya akan diisi dengan slot hiburan antarabangsa.
“Daripada segi intipati kandungan pula, pihak kami akan menggunakan seluruh jentera dan intipati daripada semua jenama hiburan melayu dibawah naungan Astro termasuk Astro Ria, Astro Awani, Era fm, I Trend, meleTOP dan Studio H.
“Hlive! juga turut bekerjasama dengan saluran hiburan antarabangsa E! News untuk membawa liputan antarabangsa secara ekslusif kepada penonton,” ujar Naib Pengerusi Bahagian Perniagaan melayu Astro, Khairul Anwar Salleh ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran Hlive! di Stadium Chin Woo, baru-baru ini.
Bercakap mengenai perbezaan program Hlive! berbanding program hiburan yang lain, Khairul Anwar berkata, Hlive! merupakan salah satu jenama ekslusif yang mengupas dengan lebih mendalam mengenai dunia hiburan.
“Hlive! bukan seperti program hiburan lain yang lebih mengutamakan gosip artis semasa, ia akan dipenuhi dengan temu bual secara eksklusif dan terperinci bersama penggiat seni tanah air terutamannya mengenai perkembangan terbaharu atau mengenai sesuatu isu yang melibatkan peningkat industri hiburan Malaysia.
“Justeru, susunan dan rangkaian penyampaian kandungan akan diseragamkan dan diperhebatkan daripada semasa ke semasa agar kandungan yang ditawarkan seiring dengan peredaran masa dan permintaan kelompok sasaran penonton,” ujarnya.
|
Dalam pada itu, terdapat dua buah program menarik yang diperkenalkan menerusi platform tonton iaitu Hlive dan Hlive! Apa Kata Malaysia yang akan diterajui oleh pengacara tersohor Malaysia, Datuk Aznil Nawawi. Program tersebut bakal bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam bermula 25 Mei ini.
Sementara itu, program Hlive! pula bakal dikemudikan oleh empat pengacara baharu termasuk Dahlia Shazwan, Nabil Mahir, Shalma Ainaa dan Alif Farhan.
Khairul Anwar turut menambah: “Pemilihan keempat-empat muka baharu yang dicungkil bakat mereka melalui program pencarian bakat pengacaraan di bawah kendalian Aznil ini dilihat amat bersesuaian berdasarkan kepada karakter mereka yang menarik dan menepati konsep dan penonton sasaran program ini.
“Walaupun boleh dikatakan masih hijau dalam bidang pengacaraan, kami percaya mereka semua mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gaya keunikan mereka yang tersendiri, sekali gus memikat hati para penonton untuk terus melekat di kaca televisyen.”
Antara segmen-segmen menarik yang boleh ditonton menerusi Hlive! termasuk segmen Tweet Nakal, 15 Soalan, Di Sebalik..., Fakta Atau Propa, dan pilihan H.
Program Hlive! ini akan bersiaran secara langsung sebanyak dua kali sehari setiap hari isnin Hingga Sabtu pada pukul 1 petang dan 8.30 malam bermula 26 Mei ini secara ekslusif di Astro Ria (104) an siaran serentak di Maya Hd (135).
Melalui platform Dengar pula, para penonton boleh mendapatkan berita, liputan terkini, temu bual eksklusif serta banyak lagi mengenai pengisian Hlive! di stesen radio Era FM dan Sinar FM.
Selain itu, Platform terakhir yang dieksploitasi oleh Hlive! ialah melalui pembacaan digital. Platform Baca ini telah diperkenalkan melalui aplikasi Studio H yang merupakan majalah dalam bentuk digital. Majalah interaktif tersebut boleh dimuat turun oleh pembaca secara percuma melalui aplikasi Apple Store dan Play Store untuk pengguna Android.
Menerusi Studio H juga, orang ramai boleh mengetahui kisah peribadi tentang personaliti dan selebriti popular di Malaysia. Di samping itu, orang ramai juga boleh mendapatkan galeri gambar, sedutan klip video, liputan bertua hiburan serta informasi terkini menerusi akaun rasmi Twitter, Instagram dan facebook di officialive.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: