Saturday, May 17, 2014

Ia Wujud bukan sekadar gimik!


  • Ia Wujud bukan sekadar gimik!

METROWEALTH International Group (MIG) sekali lagi mempertaruhkan muka-muka baharu bagi menerajui filem terbitan mereka.
Menariknya, kali ini pelakon-pelakon tersebut bukanlah diambil secara ujibakat atau yang sedia ada dalam industri hiburan tanah air, sebaliknya sekumpulan anak muda yang menghantar hasil rakaman mereka kepada MIG.

Bertajuk ‘Ia Wujud’, filem tersebut diolah oleh Dharma Aizat berdasarkan visual rakaman yang didapati daripada kamera lima anak muda iaitu Your, Amad, Arif, Anam dan Tommy.

Pada awalnya, niat untuk merakamkan visual tersebut sekadar suka-suka, apatah lagi apabila mendengar banyak cerita seram dan misteri berkisar taman tema pertama di Malaysia yang telah menjadi tempat terbiar.

Bagaimanapun, mereka berasa terpanggil untuk berkongsi hasil rakaman tersebut untuk dijadikan filem setelah menonton filem Highland Tower.

Kelima-lima pemuda ini telah berkunjung ke bekas taman tema Mimaland yang ditutup sepenuhnya untuk orang ramai sejak tahun 1994 akibat kes kematian yang pernah berlaku dan ciri-ciri keselamatan yang longgar.

Mereka tiba di situ sejak petang lagi, dan merancang untuk bermalam di samping melakukan beberapa upacara memanggil hantu bagi membuktikan kewujudan makhluk halus yang tidak terzahir pada penglihatan mata kasar.

Berbekalkan beberapa kamera, mereka membuat rakaman di beberapa kawasan terbiar dalam taman tema itu seperti ruang pejabat dan kawasan hutan.

Walaupun telah diberi amaran oleh seorang lelaki yang merupakan penjaga kawasan tersebut, mereka tidak menghiraukannya dan meneruskan rancangan untuk menjejaki makhluk halus di situ.

Menjelang malam, mereka mula bermain tiga permainan untuk menyeru hantu atau makhluk halus iaitu Spirit of The Coin, pemujaan pocong dan pemujaan pontianak.

Bahayanya, permainan perlu dihabiskan atau ancaman lain akan menyusuli mereka jika permainan tersebut ‘tergantung’ tanpa pengakhiran.

Ada yang menyifatkan filem ini mempunyai persamaan dengan filem seram Amerika, The Blair Witch Project kerana menampilkan sekumpulan anak muda yang ingin menjejaki makhluk halus secara rakaman, namun Ia Wujud boleh dipuji kerana tidak menggunakan pelakon
popular dan cerita rekaan semata-mata dalam menghasilkan sesebuah karya.



Natural dan 'hidup'!

Kelima-lima watak dalam filem ini boleh dikatakan menyerlah kerana mempunyai karakter masing-masing yang tersendiri.

Your sebagai ketua yang tegas, Arif yang panas baran dan cepat bosan, Amad jurukamera yang neutral, Anam si lelaki lembut dan Tommy yang lurus tetapi penuh semangat dalam usaha mencari jalan untuk meneruskan aktiviti mereka walaupun mendapat tentangan penjaga taman tema tersebut.

Mungkin kerana rakaman tersebut adalah benar telah memberi kelebihan kepada filem ini kerana tiada lakonan yang tampak dibuat-dibuat oleh mereka.

Antara karakter yang pasti akan mencuit hati penonton adalah Anam, lelaki berperwatakan lembut yang menyertai misi rakan-rakannya untuk membuktikan keberanian dan kelelakiannya.

Walaupun Anam merupakan watak yang paling banyak kerenah, namun Ia Wujud pasti hambar tanpa penampilannya yang menambah 'warna' dalam filem ini.

Watak lain yang pasti membuatkan penonton ketawa adalah Tommy, seorang pemuda Sabah yang pekat berbicara dalam dialek negerinya.
Perwatakan Tommy yang selamba dan seakan-akan lurus tanpa disengajakan menimbulkan elemen lucu yang natural sehingga penonton boleh ketawa tanpa dipaksa.
Walaupun cepat hilang sabar dan panas baran, keberanian Arif wajar dipuji apabila dia sanggup ditinggalkan bersendirian dalam permainan pemujaan pocong.

Babak tersebut boleh dikatakan antara babak paling seram selain Your dan Amad yang turut perlu menghabiskan permainan dalam keadaan ‘diganggu’ selepas rakan mereka ditimpa tragedi akibat permainan itu.

Tidak rugi menontonnya bagi anda yang gemarkan filem seram atau paranomal dan ingin menyokong industri perfileman tempatan!




IA WUJUD
PENGARAH: Dharma Aizat
PELAKON: Zakaria Zahid, Ahmad Syafiq, Muhd Arif Adam, Anam Azizan, & Tommy.
GENRE: Seram
DURASI: 71 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 15 MEI 2014
KESELURUHAN: *** OKEYLAH!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: