|
SEBELUM ini, pelakon Jue Aziz mengambil pendekatan untuk mengunci mulut tanpa membuat sebarang kenyataan berhubung status dirinya, meskipun terdapat dakwaan yang mengatakan dia sudah mendirikan rumah tangga.
Biarpun gambar dirinya bersama seorang jejaka yang dikatakan suaminya itu bertebaran di internet tetapi belum ada sebarang kenyataan yang dibuat oleh pelakon itu sehingga menimbulkan tanda tanya ramai pihak.
Namun begitu, dalam satu sesi fotografi yang diaturkan untuk mempromosi filem terbaharunya, Hantu Nan Sempit yang akan ditayangkan di pawagam pada 5 Jun depan, Jue atau pemilik nama sebenar, Zuliana Abdul Aziz itu mengakui dia kini sudah berkahwin.
"Ya, saya kini sudah berumah tangga dan isteri kepada Bayu yang juga merupakan seorang pemuzik. Kami berdua telah bernikah di kampung kelahiran suami di Makassar, Indonesia pada 9 Mac lalu.
"Tidak dinafikan kami berkenalan dalam tempoh yang agak singkat iaitu empat bulan sahaja sebelum kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Saya bersetuju setelah melihat keikhlasan suami yang mahu mengambil saya sebagai isteri," ujarnya yang turut ditemani suami tercinta, Bayu Daniels.
Menceritakan detik perkenalan mereka berdua, Jue memberitahu, semuanya bermula ketika dia sedang bercuti di Pulau Pinang pada bulan November tahun lalu.
Ujarnya, ketika menikmati hidangan di Hard Rock Cafe Penang, tiba-tiba matanya tertumpu kepada kepada seorang pemain gitar yang sedang membuat persembahan di pentas.
"Selepas Bayu selesai membuat persembahan, dia lantas datang ke arah saya dan kami mula bertegur sapa. Pada mulanya saya tidak berasa apa-apa tetapi tiba-tiba wujud satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.
"Walaupun kami berkenalan dalam tempoh yang singkat, namun saya melihat Bayu merupakan seorang lelaki yang lemah lembut, merendah diri dan menghormati orang tua. Itu merupakan antara faktor utama yang membuatkan saya tertarik dan bersetuju menjadi isterinya," jelas pelakon yang dikenali menerusi filem Hantu Bonceng itu.
Menurut Jue, keputusan untuk berkahwin juga sebenarnya berlaku dengan begitu pantas dan tidak dirancang sama sekali. Malah, persiapan untuk berkahwin juga dilakukan dalam tempoh seminggu.
"Pada mulanya, saya bersama kedua ibu bapa saya telah pergi ke Makassar dengan tujuan untuk berjumpa dengan keluarga Bayu dan mengenali mereka secara lebih dekat lagi.
"Setelah kami berjumpa dengan keluarga Bayu dan menceritakan tentang hubungan yang terjalin, akhirnya mereka mencadangkan supaya kami terus bernikah sahaja. Memang persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat, namun semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.
Berkenaan dengan tindakannya yang tidak memberikan sebarang komen mengenai kisah perkahwinannya yang sudah tersebar, ternyata Jue mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Mengakui langsung tidak berniat untuk menyembunyikan status dirinya yang sudah bergelar seorang isteri, pelakon itu menjelaskan bahawa dia menunggu masa yang sesuai untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Sebenarnya saya telah mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan berdiam diri setelah apa yang terjadi pada tahun lalu. Saya kecewa apabila ramai yang mengatakan saya hamil anak luar nikah dan memiliki anak haram, sedangkan saya mengambil seorang anak angkat untuk dibela.
"Sejak itu, saya lebih gemar untuk berdiam diri sahaja daripada membuat sebarang kenyataan apabila cerita mengenai saya timbul kerana tidak mahu lagi ada sebarang cerita buruk sehingga menjejaskan nama baik saya," tegasnya.
|
Dalam pada itu, Jue dan suami juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan sebuah video khas yang menceritakan lebih lanjut tentang kisah perkahwinannya bersama Bayu dan akan dimuat naik ke laman YouTube tetapi ia belum dapat dilakukan lantaran jadual yang padat.
Aktif berlakon
Bercerita tentang kariernya pula, Jue turut menepis tanggapan ramai yang mengatakan dirinya sekarang semakin perlahan dalam bidang lakonan setelah dikatakan kurang muncul di kaca televisyen.
Jelasnya, ketika ini dia masih lagi bergiat aktif sebagai pelakon, namun penampilannya sekarang lebih kerap dilihat di stesen televisyen RTM berbanding dengan stesen lain.
"Bukannya tiada tawaran berlakon dalam drama atau telemovie untuk stesen lain tetapi biasanya jadual yang diberikan selalu bertembung. Selain itu, saya juga lebih selesa bekerja dengan pihak yang saya sudah biasa.
"Rasanya ada yang beranggapan bahawa saya sudah kurang aktif berlakon kerana cerita mengenai diri saya jarang keluar di media. Hakikatnya, rezeki saya dalam lakonan masih lagi banyak yang diterima," ujarnya.
Meskipun tidak banyak cerita mengenai dirinya yang dipaparkan, pelakon itu menyatakan, ia suatu petanda yang positif kerana ini membuktikan dirinya tidak memerlukan cerita yang sensasi untuk melonjak nama sebagai pelakon.
"Ini menunjukkan yang saya ditawarkan berlakon oleh penerbit dan pengarah kerana bakat yang dimiliki. Disebabkan itu apabila bekerja, saya akan serius dan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja bagi membalas kepercayaan yang telah diberikan," luahnya.
Cabaran
Selepas tampil dalam filem Hantu Bonceng terbitan Excellent Pictures pada tahun 2011, kini Jue sekali lagi bekerjasama dalam filem di bawah arahan Ahmad Idham berjudul Hantu Nan Sempit.
Menurut Jue, dalam filem berkenaan dia membawakan watak seorang gadis bernama Suraya yang diam-diam mempunyai perasaan cinta terhadap Ribut yang dilakon- kan oleh Soffi Jikan.
"Boleh dikatakan berlakon dalam filem ini agak mencabar kerana memerlukan saya membuat beberapa babak aksi. Pengarah ada bertanya sama ada saya boleh membuat babak aksi atau tidak dan saya memberitahu yang tiada masalah untuk melakukannya.
"Selain itu, dapat bergandingan dengan pelakon seperti Soffi juga memberikan suatu pengalaman yang menarik. Selain dikenali sebagai seorang pelakon yang bagus, dia juga memiliki gaya dan karakter tersendiri dalam setiap watak yang dibawakan," ujarnya.
Hantu Nan Sempit mengisahkan tentang seorang mekanik, Ady yang bekerja di sebuah bengkel telah membaik pulih sebuah motosikal yang terlibat dalam satu kemalangan tetapi motosikal tersebut seperti mempunyai rohnya sendiri.
Pada masa sama, pemilik bengkel berkenaan iaitu Ribut telah mengalami masalah kekurangan pelanggan di bengkelnya dan membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat bomoh atas nasihat rakannya, Suraya.
Selain Jue dan Soffi, filem tersebut turut dibintangi oleh Hazama dan Erin Malek selaku teraju utama. Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 Jun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: