|
SUASANA di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Burhanuddin Helmi 2, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur kelihatan meriah dengan kehadiran para tetamu.
Ada yang datang membawa keluarga, rakan-rakan dan tidak ketinggalan datang bersendirian semata-mata untuk menyertai program Hari Terbuka anjuran Persatuan Darul Fitrah Malaysia (Darul Fitrah).
Bagi Chong Kok Hoong, 26, dia mengetahui tentang program tersebut melalui poster yang dikirimkan melalui aplikasi WhatsApp oleh rakan-rakannya.
Dia yang sudah empat tahun memeluk Islam merasa terpanggil untuk menghadirinya sebagai tanda sokongan kepada penganjur selain merapatkan ukhuwah sesama ahli persatuan itu.
“Ini kali pertama saya datang ke majlis ilmu anjuran Darul Fitrah dan ia memberi banyak manfaat kepada mereka yang ingin mendalami tentang Islam.
“Saya harap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim tampil untuk memperkatakan tentang keindahan Islam yang mungkin tidak difahami oleh masyarakat bukan Islam di luar sana,” ujar Kok Hoong yang masih mengekalkan nama Cina meskipun sudah memeluk Islam pada usia 22 tahun.
Ditubuhkan secara rasmi pada 17 November 1990, matlamat Darul Fitrah adalah untuk memberi khidmat kebajikan secara menyeluruh khususnya kepada saudara baru.
Antaranya, melalui pendidikan, kaunseling dan dakwah dalam membina keimanan serta keyakinan yang mantap terhadap agama Islam menerusi pelbagai program serta aktiviti yang disusun rapi.
Kerjasama
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Selangor, Sharin Low Abdullah, 68, memberitahu, usaha dakwah sebenarnya memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
“Disebabkan itu, inisiatif oleh Darul Fitrah ini merupakan satu perkara yang harus dipuji dan dicontohi ramai. Hakikatnya, dakwah bukan satu tugas yang mudah.
“Paling mustahak untuk kita adalah menerangkan salah faham yang sering berlaku dalam masyarakat Cina bahawa memeluk Islam bukan bermakna seseorang itu bertukar menjadi Melayu.
“Malah, orang Melayu sendiri perlu memahami konsep ini kerana sering tersalah tafsir sehingga menjadi satu konotasi negatif buat mereka yang tidak memahaminya,” ungkap Sharin yang memeluk Islam sejak 47 tahun lalu.
Berlangsung pada 11 Mei lalu bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, program Hari Terbuka Darul Fitrah itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.
Ia termasuklah, sesi ceramah daripada panel jemputan merangkumi beberapa topik seperti How To Counsel Effectively, Health and Islamic Therapy, Talent - An Asset dan Know Your Shoes.
Salah seorang penceramah yang juga Kaunselor HR Capital Sdn. Bhd., Normaliza Mahadi, tampil dengan tajuk Will You Marry Me mengajak para hadirin berfikir tentang apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup.
“Kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan yang dilalui. Kejayaan dalam hidup bukan terhad kepada kekayaan atau kemewahan yang dimiliki, tetapi ia berkaitan tentang apa yang kita fikirkan.
“Begitu juga dengan kebahagiaan, ia bukan apa yang kita ada tetapi apa yang kita fikir tentangnya. Justeru, kita harus sentiasa meletakkan diri dalam keadaan positif sepanjang masa dan jangan bercakap tentang orang yang kita tidak suka,” tegasnya.
Normaliza menambah, ini kerana suara yang diucapkan oleh seseorang itu akan menjadi tenaga melingkungi kehidupan, maka sebaiknya ucapkan perkara-perkara yang baik sahaja.
Selain sesi ceramah, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai barangan menarik seperti pakaian, aksesori, buku dan perhiasan yang dijual oleh Darul Fitrah dalam usaha mengumpul dana untuk membantu golongan yang memerlukan.
Tetamu turut disajikan dengan aneka makanan menyelerakan termasuk sate, nasi lemak, mihun goreng, pencuci mulut, kuih-muih dan lai chee kang sebagai penghilang dahaga.
Dalam pada itu, wakil penganjur, Noorshin Ng Abdullah, 60, melahirkan rasa syukur kerana program itu berlangsung dengan jayanya.
“Alhamdulillah, moga majlis kecil ini mendapat pandangan di sisi Allah sebagai usaha dakwah kami untuk menyebarkan tentang kecantikan Islam,” tuturnya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman www.facebook.com/pages/Persatuan-Darul-Fitrah-Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: