Friday, May 16, 2014

Pernah dilabel pendakwah 'mee segera'

JUARA program Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah diapit oleh naib juara, Hadhari (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Azamudin.


SEIRING dengan perkembangan industri hiburan berlaku sekarang, terdapat begitu banyak program realiti yang diterbitkan saluran televisyen tempatan, terutamanya dalam mencari bakat penghibur. Boleh dikatakan, setiap saluran televisyen yang ada di negara ini seperti berlumba-lumba menerbitkan program realiti, tetapi kebanyakannya lebih kepada berbentuk hiburan semata-mata.
Bagaimanapun, kini sudah ada inisiatif untuk mencari kelainan dengan penerbitan program yang lebih berbentuk keagamaan. Malah, ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.
Sebagai contohnya, stesen televisyen TV3 buat julung-julung kalinya telah menerbitkan sebuah program yang dikenali sebagai Da'i: Pendakwah Milenia yang bermatlamat mencari pendakwah dalam kalangan generasi muda.
Menerusi program sulung itu juga telah menyaksikan peserta wanita, Nor Adibah Rozain dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua pula menjadi milik Mohamad Azamudin Zainal dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Tajdid Hadhari Romli.
Kini, selepas setahun program tersebut berakhir, satu sesi fotografi bersama ketiga-tiga pemenang tersebut telah diaturkan untuk mereka berkongsi cerita pengalaman masing-masing selaku pendakwah.
Menurut Hadhari, 26, penyertaannya dalam program Da'i: Pendakwah Milenia begitu memberi impak kepada dirinya menjadi seorang pendakwah setelah pelbagai jemputan memberi ceramah dan forum di merata-rata tempat.
“Tidak lama selepas menyertai program berkenaan, saya telah berhasil menubuhkan sebuah syarikat konsultan sendiri yang diberi nama Hadhari Consultant & Entrepreneur Enterprise.
“Syarikat saya itu berperanan untuk memberi bimbingan dari sudut jati diri dan sahsiah terutamanya kepada golongan muda. Selain itu, saya turut diberi peluang memberi ceramah kepada beberapa badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan,” jelasnya.
Biarpun sudah lama berkecimpung dalam aktiviti dakwah sebelum menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia lagi, Hadhari mengakui, penyertaannya dalam program berkenaan banyak membantunya untuk mendalami tugas-tugas seorang pendakwah.

HADHARI (dua dari kanan) bersama para peserta dalam sebuah program motivasi yang diadakan di UiTM, Shah Alam pada tahun lalu.


Berkongsi cerita tentang dirinya selaku pendakwah muda, pemuda yang kini merupakan pelajar jurusan Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu mendedahkan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapinya.
“Saya pernah berbincang dengan para peserta yang lain dengan memberitahu bahawa perjuangan dalam dakwah ini baru sahaja bermula sebaik sahaja program berkenaan berakhir dahulu.
“Antara cabaran paling utama yang kami lalui ialah penerimaan sebilangan masyarakat umum yang cuba mempertikaikan keupayaan kami untuk menjadi seorang pendakwah serta mempertikaikan kelulusan yang kami ada untuk berdakwah,” luahnya.
Kongsi Hadhari lagi, gara-gara kemunculan mereka itu menerusi sebuah program yang berbentuk realiti televisyen, terdapat segelintir pihak yang pernah melabelkan mereka sebagai pendakwah 'mi segera'.
Ujarnya, biar apa pun persepsi yang dilemparkan terhadap mereka sebagai pendakwah muda, ia langsung tidak menjadi penghalang untuk meneruskan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.
“Salah satu langkah yang cuba dilakukan bagi menghadapi cabaran tersebut ialah dengan memberi penerangan bahawa tugas berdakwah itu merupakan tugas setiap individu serta bijak melayani kerenah masyarakat,” ujarnya.
AZAM turut berkongsi pelbagai gambar ketika melakukan kerja-kerja dakwah menerusi laman Instagram miliknya.


Pendekatan tersendiri
Bagi peserta yang muncul naib juara, Mohamad Azamudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Azam Al-Kankari, sejak bergelar finalis Da'i: Pendakwah Milenia, dia banyak menerima jemputan memberi ceramah agama di luar bandar dan sekolah.
Ujarnya, program berkenaan membuka peluang yang lebih besar buat dirinya melaksanakan kerja-kerja dakwah serta terbabit dengan beberapa program berbentuk keagamaan di TV3.
“Sebenarnya dalam melaksanakan kerja-kerja perlu menggunakan pendekatan tersendiri. Misalnya, ketika berdakwah kepada golongan muda, masyarakat bandar atau kampung, pastinya ia memerlukan cara yang berbeza, asalkan tidak melanggar syarak.
“Dari segi penampilan pula, ketika melakukan kerja dakwah tidak semestinya seseorang pendakwah itu perlu berjubah atau berkopiah. Saya sendiri lebih selesa dengan penampilan seperti golongan remaja yang lain,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran yang dilaluinya pula, Azamudin menyatakan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan pasti berhadapan dengan cabaran dan ia bergantung kepada individu itu untuk menghadapinya.
“Antara cabarannya apabila ramai yang tidak yakin dengan golongan pendakwah muda seperti saya untuk kerja-kerja dakwah. Namun begitu, saya anggap segala cabaran itu membuatkan saya lebih bersemangat lagi,” ujarnya yang baru mencecah usia 23 tahun.
Memiliki kelulusan Diploma Pendidikan Islam dari Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), dia sempat memberikan pesanan kepada mereka yang ingin menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia yang bakal memasuki musim kedua.
“Kalau ada yang mahu cuba menyertai program berkenaan, pastikan niat paling utama adalah mahu berdakwah dan jangan fokus kepada kemenangan atau populariti. Jika niat itu sekadar mengejar populariti semata-mata, lupakan sahaja hasrat untuk menyertainya,” tegasnya.
Pendakwah wanita
Berbeza dengan Hadhari dan Azamudin yang kerap melakukan aktiviti dakwah di merata-rata tempat, juara Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah Rozain memberitahu, dia lebih selesa untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa.
Menjadi salah seorang peserta daripada dua peserta wanita yang bersaing dalam program berkenaan, Adibah, 22, menjelaskan, dia sememangnya mempunyai misi melakukan aktiviti dakwah dalam kalangan pelajar universiti.
“Ketika saya menyertai program ini dahulu, itulah salah satu matlamat utama saya apabila menjadi seorang pendakwah wanita. Pada masa sama, saya ingin menimba lebih banyak lagi ilmu agama.
“Lagipun saya sekarang masih lagi sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), jadi saya memerlukan pengetahuan yang lebih luas lagi,” ujarnya yang pernah terbabit dengan beberapa program agama seperti Fiqh Wanita dan Bismillah.
Menjelaskan bahawa kehidupan hariannya lebih banyak di sekitar kampus lantaran kesibukannya sebagai seorang mahasiswa, namun dia kerap terbabit dengan pelbagai aktiviti anjuran universiti.
“Kini saya mengambil sijil dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya untuk mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam lagi. Selain itu, saya turut belajar cara-cara penyampaian dan komunikasi dengan baik kerana ia merupakan elemen yang penting ketika berdakwah,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Adibah telah meluahkan harapannya supaya lebih ramai pendakwah wanita dapat dibentuk pada masa akan datang kerana sekarang ini tugas melakukan dakwah lebih banyak dipikul oleh golongan lelaki.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: