Sunday, May 18, 2014

Tasha Shila rimas dihentam peminat


  • Tasha Shila

BERKONGSI salah, tidak berkongsi pun salah! Mungkin itulah yang dirasai oleh aktres berbakat besar, Tasha Shilla apabila tindakannya berkongsi gambar dan kisah peribadi menyebabkan dia lebih dicemuh peminat.

Apatah lagi, kekasih Tasha yang bukan beragama Islam, membuatkan ramai peminatnya lebih senang menghentam dari memuji.

Ini membuatkan Tasha merasa rimas dengan tindakan sesetengah peminatnya yang gemar 'berlebih-lebih' mengenai perihal kehidupan peribadinya.

“Tipulah  kalau saya tidak rimas dan tertekan dengan komen-komen negatif yang ditujukan kepada saya.

Mana-mana komen yang kurang ajar memang saya akan ‘block’,” jelasnya ketika di minta mengulas mengenai tindakan beberapa peminat yang menghentam hubungan cintanya bersama ahli tinju, Han Chen Wong menerusi laman Instagram.

Menurut Tasha, sebagai manusia biasa dia tidak perlu terlalu memikirkan hinaan mahu pun tohmahan peminat terhadap dirinya.

“Dalam soal ini saya lebih menyayangi diri sendiri. Saya tidak perlu menjaga hati peminat kerana saya ada hak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja pilihan saya.

“Kalau benar-benar meminati saya, sepatutnya mereka terima saya seadanya dan bukannya mengawal diri saya. Lagi pun ke dua belah keluarga merestui hubungan kami,” tegasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Tasha turut menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya menaja perniagaan kekasih hatinya itu.

“Memang keluarga dia ada perniagaan tapi saya memang tidak tahu bagaimana gosip ini boleh timbul.

“Sebenarnya, saya sendiri yang banyak belajar daripada keluarga dia mengenai selok-belok perniagaan dan khabar angin ini memang tidak benar,” ulasnya.

Bataskan karier lakonan selepas berkahwin

Akui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Tasha memberitahu dia akan mengurangkan aktiviti lakonan untuk memberi fokus pada perniagaan keluarga kekasihnya.

“Apa yang pasti saya tidaklah akan berhenti berlakon kerana itu memang minat saya. Cuma selepas berkahwin saya perlu bataskan sedikit aktiviti lakonan.

“Kami telah berbincang mengenai perkara ini dan keluarga dia pun setuju,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama ‘Maafkan Aku Tak Sempurna’ untuk slot Akasia, TV3.

Beralih pada karier seninya, Tasha memberitahu lebih selesa menerima tawaran satu persatu memandangkan dia kini bergerak sendiri menguruskan kerjaya lakonannya.

“Sebenarnya sudah lebih kurang setahun saya uruskan karier sendiri tanpa pengurus peribadi. Tapi itu tidak menjadi masalah buat saya kerana sudah terbiasa.

“Sebelum ada pengurus pun memang saya terima tawaran satu-persatu. Jadi kalau ada syarikat produksi yang masih mahukan saya, mereka perlu ikut jadual saya,” katanya yang kini sedang mencari calon pengurus peribadi yang bersesuaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: