|
"NAK dapat maklumat tu? Alah Google aje," kata seorang rakan apabila ditanyakan maklumat yang penulis ingini.
Jika tiga dekad lalu pencapaian internet menjadi sesuatu yang asing bagi kita namun kini ia berada di hujung jari.
Lihat sahaja di sekeliling kita, baik kanak-kanak sehinggalah warga emas, rata-rata mempunyai gajet di tangan seperti telefon bimbit atau tablet canggih.
Dunia tanpa sempadan. Itulah ungkapan paling tepat dalam melayari internet ketika ini. Antara pertanyaan yang seringkali diucapkan terutama golongan muda ialah masih relevankah pencarian maklumat menerusi bahan rujukan buku?
Sesetengah pendapat mengatakan pencarian sebegitu sudah ketinggalan zaman malah, perpustakaan awam tidak lebih sebagai tempat menyimpan buku. Selain itu, leceh untuk ke sana bagi mencari bahan rujukan apatah lagi bahan yang ada begitu terhad dan tidak terkini.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu, Kelantan, Tuan Nurul Nadia Tuan Asri, 23, berkata, aplikasi pencarian maklumat melalui internet sememangnya menjadi pilihan utamanya kerana ia menjimatkan masa.
"Kebergantungan kepada buku sebagai sumber rujukan semakin berkurangan kerana aplikasi internet jauh lebih cepat dan mesra pengguna.
"Kita cuma perlu taip sahaja rujukan yang dikehendaki di pautan berkenaan dan semua maklumat akan diperoleh. Ia seperti buku bergerak," katanya yang sedang mengikuti jurusan kewangan.
Sumber rujukan buku yang agak terhad di perpustakaan dan tidak terkini juga menjadi faktor pelajar lebih cenderung menggunakan internet.
Pengurusan masa
Seorang guru, Rozita Nasir, 30, pula berkata, dengan adanya sistem carian maklumat melalui internet pelbagai bahan berguna dapat diperoleh untuk kegunaan pelajar.
"Sebagai guru, pengurusan masa yang amat penting dan kecanggihan teknologi maklumat pada hari membantu tugas-tugas guru.
"Bukan kita menafikan kepentingan buku sebagai sumber rujukan tetapi transformasi positif dalam teknologi semasa boleh dimanfaatkan," kata guru Pendidikan Seni sejak empat tahun lalu.
Bagaimanapun, pendidik perlu bijak memilih maklumat bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pendidikan, katanya.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Ruslan Hassan bagaimanapun, melihat perkembangan teknologi itu tidak menggugat peranan buku sebagai sumber rujukan malah menjadi nilai tambah.
"Tidak semua maklumat yang didapati dalam aplikasi carian maklumat tepat terutama untuk membuat kajian ilmiah.
"Buku adalah sumber rujukan terjamin sedangkan terdapat banyak maklumat dalam internet boleh diedit oleh sesiapa," katanya.
Lebih penting, jelas beliau, usaha menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bentuk dan kaedah pembacaan.
"Saya percaya, usaha mencari maklumat melalui pembacaan buku memerlukan tumpuan dan ketekunan sehingga dapat menjadikan pembaca lebih matang, kritis dan menghargai bahan yang dibaca.
"Cuma yang menjadi kebimbangan ialah apabila pelajar mendapatkan sepenuhnya maklumat daripada internet akan mewujudkan budaya plagiat sekali gus membantutkan perkembangan ilmu," tambahnya.
Diseimbangkan
Kedua-dua kaedah itu harus diseimbangkan dan pengguna perlu bijak mengguna teknologi terkini dalam memartabatkan ilmu.
Namun, beliau tidak menafikan perkembangan pantas teknologi maklumat turut membantu memartabatkan buku sebagai bahan rujukan seperti sistem e-Book.
Sehingga kini, peranan perpustakaan dan buku sebagai rujukan masih relevan kepada masyarakat terutama pelajar.
Di Kelantan terdapat tujuh cawangan perpustakaan negeri dan tiga perpustakaan desa yang terletak di Ciku, Gua Musang; Salor, Kota Bharu dan Dabong, Kuala Krai selain 34 perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2014, rekod bilangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang tahun 2015 berbanding 18 juta orang pada tahun 2012.
Laporan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan akhbar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial.
Seramai 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: